Gambar hiasan: The Conversation via Oddity Central

Peluang Terakhir Lulus Peperiksaan, Pelajar Medic ‘Terkantoi’ Tanam Peranti ‘Bluetooth’ Dalam Telinga

Nadhirah

Seorang pelajar perubatan di India ditahan gara-gara menipu semasa peperiksaan dengan menggunakan peranti ‘bluetooth‘ yang dipercayai ditanam di dalam telinganya, memetik laporan Oddity Central.

Menurut laporan, seramai 78 orang pelajar menduduki peperiksaan akhir Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Kolej Perubatan Mahatma Gandhi, India pada 21 Februari lalu.

Namun, salah seorang daripada mereka dilapor terdesak untuk lulus dalam peperiksaan itu sehingga sanggup berkelakuan sedemikian.

Apabila disiasat, ternyata individu itu merupakan pelajar yang diterima masuk hampir 11 tahun lalu. Namun dia dikatakan sudah gagal berkali-kali dalam peperiksaan akhir yang dijalankan oleh kolej itu.

Difahamkan, peperiksaan akhir itu merupakan peluang terakhir bagi pelajar itu untuk lulus dalam peperiksaan. Disebabkan itu dia sanggup melakukan apa sahaja walaupun dengan cara menipu.

BACA JUGA: Ejaan Kuno & Nama Raja, Rupanya Ini Rahsia Di Sebalik Logo ‘Bluetooth’

Menurut Hindustan Times menerusi Oddity Central, lelaki itu memutuskan untuk menipu dengan cara mengimplan peranti bluetooth di dalam telinganya.

Namun, taktik penipuannya tidak berjaya kerana dia dilapor telah ditangkap oleh kumpulan penyelia ketika melakukan pemeriksaan badan.

Dr Vivek Sathe, penyelia ketika itu menemukan sebuah telefon bimbit yang disorok di dalam poket seluar pelajar berkenaan. Setelah diperiksa dan disiasat, ternyata telefon itu disambungkan ke peranti bluetooth berkenaan.

Walau bagaimanapun, pasukan penyelia itu tidak menemukan sebarang peranti bluetooth pada pelajar tersebut. Tetapi, pelajar itu hanya mengaku setelah dia disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Akhirnya pelajar itu pun mengaku bahawa dia memang memasang peranti tersebut yang berwarna kulit di telinganya. Katanya, peranti itu dipasang oleh seorang pakar bedah telinga, leher, dan tekak ENT (Ear, Nose, Throat).

Sumber: Oddity Central