Pelawak Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Miliki Dadah
SEPANG, 20 Dis (Bernama) — Seorang pelakon yang juga pelawak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis.
Bekas peserta sebuah program realiti 41 tahun itu didakwa memiliki dadah disyaki kanabis dianggarkan seberat 58.23 gram (g) di kediamannya di Cyberjaya pada 3.10 petang, 14 Dis lepas.
Bapa kepada empat anak berusia antara empat dan 13 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau untuk satu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Fadly Hashim.
Hakim Ahmad Fuad Othman tidak membenarkan tertuduh jamin dan menetapkan 27 Jan depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 2.07g kanabis di lokasi, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mohd Fadly memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan memaklumkan tertuduh mempunyai empat anak berusia empat, lima, tujuh dan 13 tahun.
“Anak guam saya bekerja dalam bidang hiburan dan pendapatan tidak menentu,” katanya.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Feb depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli
BACA: Wujud Seawal Kurun Ke-2 Masihi, Ini Sejarah Menarik Kataha
Sumber: BERNAMA