Kangar: Pelantikan barisan jemaah menteri Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini merupakan lembaran baharu buat Kerajaan Persekutuan mendapat kepercayaan rakyat.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man ketika dihubungi Bernama berkata pelantikan sesiapa sahaja Ahli Parlimen adalah hak prerogatif (kuasa mutlak) Perdana Menteri.
Malah beliau turut menyokong Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin yang diumumkan oleh Muhyiddin sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata barisan kepimpinan Kabinet yang dilantik adalah merupakan tulang belakang kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan.
Shahidan berkata sebagai Ahli Parlimen Arau, beliau menyokong segala usaha dan tindakan barisan kerajaan baharu dalam usaha memulihkan ‘kerosakan’ yang dihadapi oleh negara ketika ini.
Selain itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan berkata pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri menunjukkan komitmen beliau untuk memastikan Malaysia boleh terus bergerak ke hadapan.
Beliau berkata ini merupakan Kabinet yang mampu membawa kestabilan politik dan ekonomi negara.
”Penubuhan Kementerian Perpaduan Negara menunjukkan kerajaan memberi penumpuan kepada usaha menyatukan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Ini langkah penting kerana ia membuktikan kerajaan ini adalah kerajaan untuk semua,” katanya.
Katanya pengumuman itu ‘membunuh’ terus tuduhan dan fitnah bahawa Muhyiddin membuka ruang kepada kleptokrat dalam kerajaan baharu.
”Sudah tiba masa untuk kita berhenti berpolemik. Kita perlu menolak mereka yang berterusan mahu membawa perpecahan yang tidak berkesudahan. Ini masa untuk berkhidmat,” katanya.
Sumber: Bernama