
Pelancong Perancis Kongsi Pengalaman, Akui ‘Cinta’ Lima Benda Ni Di Malaysia
Setiap tahun, Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelancong dari serata dunia. Ramai antara mereka bukan sahaja terpesona dengan keindahan dan keunikan negara ini, malah tidak teragak-agak untuk berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
Begitu juga dengan seorang wanita Muslim dari Perancis yang dikenali sebagai Assia.
Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, @byassiaslmn, dia berkongsi lima perkara yang membuatkan dirinya jatuh cinta dengan Malaysia, sesuatu yang menurutnya sukar ditemui di negara lain.
Perkara pertama yang menarik perhatian Assia ialah pilihan penginapan di Malaysia.
Menurutnya, banyak apartmen di sini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium dan lain-lain, semuanya ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.
Kedua, dia menyifatkan Malaysia sebagai syurga makanan. Tidak kira apa jua latar belakang pelancong, mereka tidak perlu risau soal makanan kerana hampir semua hidangan di sini menyelerakan dan sesuai dengan bajet.
Dari roti cina hingga ke nasi lemak, pilihan makanan yang pelbagai dan halal memudahkan pelancong Muslim seperti dirinya menikmati juadah tanpa was-was.
Assia turut memuji sistem pengangkutan awam di Malaysia. Bukan sahaja bersih dan teratur, malah ia juga selamat digunakan, terutama dengan adanya koc khas untuk wanita.
Sebagai pelancong wanita, dia merasakan inisiatif ini sangat membantu dan memberikan rasa selesa sepanjang perjalanan.
Selain itu, satu lagi perkara yang membuatkan Malaysia istimewa di matanya ialah kemudahan ruang solat yang mudah diakses di pelbagai lokasi seperti pusat beli-belah, lapangan terbang dan stesen kereta api. Ini menjadikan urusan ibadahnya tetap terjaga walaupun sedang melancong.
Akhir sekali, Assia terpegun dengan seni bina masjid-masjid di Malaysia. Kebanyakan masjid menurutnya dibina dengan reka bentuk yang indah, luas, bersih dan memberikan suasana yang tenang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memberikan pelbagai reaksi mengenai perkongsian itu, antaranya;
“Kadang benda yang kita nampak biasa tu sebenarnya nikmat besar yang kita terlepas pandang,” komen seorang pengguna.
“Malaysia adalah negara mesra muslim terbaik di dunia,” tulis seorang lagi.
Sumber: TikTok @byassiaslmn