Seorang pelakon bersama dua individu lagi yang juga pengarah dan penolong pengarah didenda sehingga RM4,000 oleh mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan pada Oktober lalu.
Memetik daripada laporan Sinar Harian, perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Mohd Shazmeer Zamhari selepas pertuduhan terhadap tiga orang lelaki ini dibacakan secara berasingan pada Isnin.
Mohd Shazmeer memerintah kesemua mereka menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara dua hingga tiga tahun serta hukuman penjara sehingga lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pelakon muda itu mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60gram di sebuah rumah di Taman Chandan Putri 2 pada 10 Oktober 2021 lalu.
Bagaimanapun, pendakwaan terhadapnya dikemukan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000 jika disabit kesalahan.
Selain itu, pemuda ini turut mengaku bersalah memasukkan kepada diri sendiri dadah jenis THC. Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan tiga tahun pengawasan.
Justeru itu, pelakon yang diwakili seorang peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hennie Soraya memohon agar hukuman diringankan memandangkan pendapatannya terjejas disamping perlu menanggung ibu yang sakit.
Timbalan Pendakwa bagaimanapun memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman yang setimpal mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh merupakan individu yang dikenali.
Kemudiannya mahkmah memerintah pelakon tersebut membayar denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal dikenakan lima bulan penjara serta dua tahun pengawasan
Sementara itu, bapa kepada 6 orang anak itu memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.20gram diperintah membayar denda RM1,800 dan jika gagal boleh dikenakan empat bulan penjara. Bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan pula dikenakan dengan RM2,000 dan lima bulan penjara sekiranya gagal bayar serta tiga tahun mengawasan AADK.
Seterusnya, mahkamah turut memerintahkan lelaki berusia 48 tahun itu membayar dengan RM4,000, lima bulan penjara jika gagal bayar serta dua tahun pengawasan selepas mengaku memiliki dan memasukkan dadah dalam badan jenis metahamphetamine di lokasi dan tarikh yang sama.
Pemeriksaan di tigsa bilik rumah tersebut mendapati dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.
Sumber: Sinar Harian