Salah seorang bintang wanita dalam filem Doctor Strange, Zara Phytian dijatuhi hukuman penjara 8 tahun atas kesalahan mendera kanak-kanak secara seksual.
Memetik laporan BBC, bintang wanita berusia 37 tahun tersebut dijatuhi hukuman berkenaan selepas didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun. Sementera itu, suaminya, Victor Marke didakwa mendera seorang kanak-kanak berusia 15 tahun dengan cara seksual dan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun.
Panel hakim Mahkamah Nottingham Crown mendedahkan bahawa bintang tersebut menafikan perbuatannya itu namun terdapat bukti yang menunjukkan bahawa dia bersama suaminya adalah bersalah.
Menurut laporan, salah seorang hakim percaya wanita terbabit melakukan kesalahan berkenaan kerana dipaksa oleh si suami. Selain itu, kedua-dua tertuduh pernah terlibat dalam beberapa kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak.
Secara keseluruhan, Zara didapati bersalah di atas 14 pertuduhan manakala suaminya didapati bersalah di atas 18 pertuduhan.
Dalam satu laporan yang ditulis oleh Nottinghamshire Post, mangsa mengakui mereka sedang bermain permainan ‘truth or dare’ bersama pasangan tersebut sebelum mereka bertindak melakukan perbuatan kejam tersebut.
Pasangan diberikan jaminan sepanjang perbicaraan berlangsung, bagaimanapun hakim memerintahkan kedua-duanya direman semula selepas mahkamah mendapati pasangan tersebut bersalah.
Selain memegang watak sebagai Brunette Zealot dalam Doctor Strange, Zara turut muncul dalam filem Accident Man 2 (2022) dan Tribal Get Out Alive yang ditayangkan pada 2020.
Sumber: BBC, Hot detik