Pelakon Bollywood Terkenal Cedera Parah ‘Diserang’
Pelakon Bollywood terkenal, Saif Ali Khan, cedera parah selepas ‘diserang’ penyamun yang memecah masuk rumahnya di Bandra, Mumbai.
Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku sekitar jam 2.30 pagi pada Khamis, ketika Saif sedang tidur bersama ahli keluarga lain di rumah tersebut.
Menurut pihak polis, penyamun terbabit melarikan diri selepas penghuni rumah terjaga, dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
“Saif Ali Khan telah dimasukkan ke Hospital Lilavati di mana beliau sedang menerima rawatan.
“Setakat ini, tidak jelas sama ada beliau ditikam atau cedera akibat pergaduhan dengan penyamun tersebut.
“Kami sedang menjalankan siasatan lanjut, dan pihak cawangan jenayah Mumbai turut melakukan siasatan ke atas kejadian ini,” menurut seorang pegawai tinggi dari perkhidmatan polis India (IPS) yang mengesahkan kejadian tersebut.
Saif alami enam kecederaan
Ketua Pegawai Operasi (COO) di Hospital Lilavati, Dr. Niraj Uttamani, menyatakan bahawa Saif diserang oleh seorang individu yang tidak dikenali di rumahnya.
Saif tiba di hospital sekitar pukul 3.30 pagi dengan enam kecederaan. Dua daripadanya lebih dalam, dan salah satu kecederaan tersebut terletak berhampiran tulang belakangnya.
“Kami sedang menjalankan pembedahan ke atasnya. Pembedahan dilakukan oleh Pakar Bedah Saraf Nitin Dange, Pakar Bedah Kosmetik Leena Jain dan Anestesia Nisha Gandhi.
“Kami hanya akan dapat menentukan separah mana kecederan yang dialami selepas pembedahan selesai,” kata Dr. Uttamani.
Beliau turut menambah bahawa terdapat satu lagi kecederaan pada leher Saif yang masih dalam penilaian.
Walau bagaimanapun, Saif dilaporkan masih boleh menggerakkan anggota badannya, yang menunjukkan bahawa tulang belakangnya tidak terjejas.
Untuk info, Saif merupakan suami kepada pelakon wanita Bollywood, Kareena Kapoor.
Mereka mendirikan rumah tangga sejak 2012, dan dikurniakan dua orang anak lelaki masing-masing berusia lapan dan empat tahun.
BACA: Khabib Perjelas Isu Dihalau Keluar Dari Pesawat
BACA: Salman Khan Pasang Cermin Antipeluru Di Rumah
BACA: Pelakon Titanic, Leonardo Dicaprio Didakwa Terlibat Dalam Squid Game 3
Sumber: Hindustan Times