Pelajar Terlepas Peperiksaan Penting, Selamatkan Nyawa Rakan
BEIJING — Seorang pelajar lelaki di Timur China tular di media sosial selepas terlepas peperiksaan penting demi menyelamatkan nyawa rakan sekelasnya, lapor South China Morning Post (SCMP).
Difahamkan, Jiang Zhaopeng, 18, pelajar dari Wilayah Shandong, sedang dalam perjalanan ke peperiksaan kemasukan vokasional kebangsaan bersama seorang rakan pada 10 Mei lalu.
Sewaktu menaiki kenderaan e-hailing, rakannya secara tiba-tiba rebah di sebelahnya dan tidak sedarkan diri.
Jiang yang berada di sebelahnya bertindak pantas dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sambil mengarahkan pemandu, Wang Tao, untuk segera ke hospital berhampiran.
Menurut laporan, rakannya mengalami serangan jantung, yang mana jantung mangsa telah terhenti hampir 30 minit sebelum pasukan perubatan berjaya menyelamat kembali nyawanya.
Kembali Semula Ke Pusat Peperiksaan
Selepas memastikan keadaan rakannya stabil, Jiang bergegas ke pusat peperiksaan.
Bagaimanapun, dia sudah terlepas ujian peperiksaan Bahasa Cina, yang merupakan antara ujian vokasional paling penting selepas peperiksaan kemasukan ke universiti, Gaokao.
“Peperiksaan boleh diambil semula, tetapi nyawa rakan saya hanya satu,” ujarnya kepada media.
Kata Pelajar dalam bidang prostetik pergigian di Kolej Juruteknik Perkhidmatan Shandong itu, dia bersyukur kerana berkat latihan pertolongan cemas yang pernah dipelajari sebelum itu membolehkannya bertindak pantas dalam situasi cemas.
Terima Pujian Ramai
Insiden itu telah menarik perhatian ramai di media sosial khususnya rakyat di negara tembok besar itu.
Sebahagian warga maya menyuarakan pendapat dan sokongan agar memberikan kelonggaran berhubung subjek peperiksaan yang tidak didudukinya susulan kejadian itu.
Malah, pelajar berkenaan dan pemandu e-hailing turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan, Anugerah Tindakan Berani dengan wang tunai 10,000 yuan pada 14 Mei lalu atas tindakan terpuji mereka.
Sumber: SCMP