Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, sebentar tadi memaklumkan bahawa pelajar tempatan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) akan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021.
Ia berikutan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah diluluskan oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 Disember 2020.
“Bagi pelajar dari Zon Merah, kemasukan pelajar adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan demi memastikan mereka bebas COVID-19.
“Bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan media yang dikongsikan di Facebook KPT.
Mkn juga telah meluluskan cadangan KPT untuk membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPTA dan IPTS kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021.
Tambahnya, pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus.
“Keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian,” ujarnya lagi.
Beliau juga menyatakan bahawa kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sumber: Kementerian Pengajian Tinggi