
Pelajar Meninggal Dunia, Dipercayai Akibat Didenda “Squat Jump” 100 Kali
Seorang pelajar di Sekolah Menengah Pertama (SMP) 1 STM Hiling, Kabupaten Deli Serdang, Indonesia dilapor meninggal dunia, dipercayai kesan akibat didenda melakukan squat jump sebanyak 100 kali oleh gurunya.
Susulan itu, seorang guru dikenali sebagai SW yang ditahan sebelum ini untuk membantu siasatan telah ditetapkan suspek utama pada 19 November lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Deli Serdang, Raphael Sandy Cahya Priambodo, pihaknya menyiasat kes berkenaan dibawah Pasal 80 Ayat 3 UU RI No 35 Tahun 2014, pindaan atas UU RI No 23 Tahun 2002 mengenai Perlindungan Anak.
Katanya lagi, suspek berdepan dengan hukuman penjara maksimum selama 15 tahun jika didapati bersalah.
Kronologi kes pelajar meninggal dunia didenda squat jump 100 kali
Menurut Detik News, mangsa bersama beberapa rakannya didenda oleh suspek untuk melakukan squat jump sebanyak 100 kali kerana gagal menghafal nama-nama nabi.
Kejadian berkenaan dilapor berlaku di SMP 1 STM Hiling pada 19 September 2024.
Ibunya memberitahu, mangsa ada memaklumkan berkenaan denda tersebut kepada mereka selepas pulang dari sekolah pada hari tersebut.
Mangsa kemudian dilapor mula tidak sihat dan jatuh sakit termasuk mengalami demam ketika sedang berehat di ruang tamu, sehari selepas kejadian denda berkenaan.
Malah, keadaan kaki dan peha mangsa turut membengkak serta urat membiru kelihatan menyebabkan dia tidak dapat hadir ke sekolah keesokan harinya.
Melihat keadaan kesihatan anak mereka yang membimbangkan, ibu bapa mangsa kemudian membawanya ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Pukesmas) Talun Kenas untuk menerima rawatan pada 23 September.
Mangsa seterusnya sekali lagi dibawa untuk menerima rawatan daripada perawat desa di Desa Limau Mungkur Kecamatan STM Hilir pada hari yang sama.
Ekoran keadaan kesihatan mangsa yang masih tidak membaik, dia seterusnya dibawa ke Klinik Pratama Mayen di Limau Mungkur pada 25 September untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa telah dirujuk ke Rumah Sakit Utama (RSU) Sembiring Deli Tua oleh klinik berkenaan kerana keadaan kesihatannya yang semakin teruk.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada 26 September ketika menerima rawatan di RSU Sembiring Deli Tua.
BACA: Era Gen Alpha Tamat, Bayi Lahir Bermula Tahun 2025 Akan Digelar Generasi Beta
Susulan perkembangan terkini kes berkenaan, kubur pelajar tersebut telah digali semula untuk membantu pihak berkuasa melengkapkan siasatan.
Sumber: Detik.com, Tribun News