Dua orang pelajar warga Itali telah dikenakan denda sebanyak 27 juta euro (RM 126 juta) selepas didakwa memulakan kebakaran hutan yang dicetuskan oleh bara daripada api barbeku.
Pihak pendakwa raya menyatakan bahawa kedua-dua pelajar yang berusia 22 tahun itu, mengadakan sesi barbeku bersama dengan sekumpulan rakannya berdekatan dengan Tasik Como yang terletak di utara Itali pada 30 Disember sempena meraikan kedatangan tahun baru.
Kebakaran hutan itu dikatakan dicetuskan oleh bara daripada api barbeku yang telah memusnahkan hutan seluas 2,471 ekar.
Kebakaran itu juga turut memusnahkan beberapa buah bangunan berdekatan dan telah menyebabkan kematian haiwan-haiwan domestik yang mendiami salah satu daripada bangunan tersebut.
Jumlah denda yang besar dikenakan ke atas kedua-dua pelajar itu telah dikira berdasarkan skala kerosakan yang telah dilakukan.
Namun begitu, ianya tidak dapat dipastikan tentang bagaimana kedua-dua pelajar itu dapat membayar denda yang besar itu. Peguam mereka diberi masa selama tiga minggu untuk mengusulkan rayuan supaya jumlah denda yang dikenakan itu dapat dikurangkan.
Walaupun kedua-dua pelajar tersebut telah menyatakan kekesalan di atas perbuatan mereka itu, mereka mendakwa bahawa mereka telah dianiaya.
“Kami telah dijadikan kambing hitam di atas kebakaran hutan yang tercetus tanpa penjelasan yang kukuh”, ujar salah seorang daripada pelajar tersebut.
“Kami adalah mangsa yang sebetulnya. Kami merupakan orang yang terawal memaklumkan kepada pihak bomba dan juga yang terawal cuba memadamkan kebakaran itu”. Tambahnya lagi.
Sumber: Daily Mail