Seorang pelanggan di sebuah restoran di Florida, Amerika Syarikat yang gembira dengan layanan diberikan oleh kakitangan restoran tersebut telah bertindak memberikan tip sebanyak AS$10,000 (RM42,165), lapor portal United Press International (UPI) semalam.
Menurut akaun Instagram Restoran Wahoo Seafood Grill, pelanggan tersebut telah meminta untuk bersemuka dengan kesemua pekerja restoran berkenaan di ruang makan.
Ketika kesemua pekerja tersebut dikumpulkan, lelaki itu bertindak berterima kasih kepada mereka kerana tampil bersemuka dengannya serta berterima kasih kerana telah bekerja dengan keras.
Lelaki itu kemudiannya mengumumkan bahawa dia akan memberi setiap seorang daripada 10 pekerja duit tip sebanyak AS$1,000.
“Saya bukanlah seorang yang mudah terharu namun perbuatan ini sangat-sangat mengagumkan. Saya terpesona. Kami semua terpesona dengan kemurahan hatinya,” ujar pemilik Shawn Shepherd dalam perkongsian tersebut.
“Sejak dari tahun lepas, industri ini sangat-sangat terkesan. Kami sesak dan kami kepenatan, namun tindakan yang luar biasa ini telah mengembalikan kepercayaan kami kepada sifat berprikemanusiaan,” tambahnya.
Sumber: United Press International