
Pihak pengurusan gedung perabot IKEA, Cheras, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa premis tersebut ditutup pada hari ini (19 Februari 2021) susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja dan rakan perkhidmatan mereka.
Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook rasmi IKEA, kali terakhir kakitangan tersebut bertugas adalah di antara 8 – 14 Februari lepas, dan kini mereka sedang menjalani kuarantin.
”Mengikuti salah satu ujian rutin yang dijadualkan di cawangan Cheras, kami dengan sedih mengumumkan bahawa kami mengesahkan terdapat kes positif Covid-19 yang melibatkan pekerja dan rakan perkhidmatan kami.
”Hari bekerja terakhir mereka adalah antara 8 – 14 Februari 2021. Semua rakan sekerja kini berada dalam kuarantin diri sehingga diberitahu lebih lanjut dari pihak berkuasa,” kata kenyataan.
Oleh itu, IKEA mengambil langkah pencegahan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi serta saringan kontak rapat belum dibuka semula kepada orang ramai esok.
”Oleh itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk menutup kedai Cheras kami pada 19 Februari 2021 untuk menjalani pembersihan yang diperlukan dan pengesanan kontak rapat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).
”Semua rakan sekerja kami yang berada dalam kontak rapat telah dikuarantin di rumah dan telah melakukan ujian swab Covid-19.
Pelanggan yang mempunyai pertanyaan lebih lanjut atau memerlukan lebih banyak maklumat, sila hubungi talian hotline Pusat Persediaan dan Respons Krisis (CPRC) KKM: 03-8881 0200/0600/0700,” katanya.
Sumber: IKEA