
Pekerja Pembinaan Alami Detik Cemas, Tergantung 500 Kaki Akibat Perancah Runtuh
Pekerja binaan di Brazil mengalami detik cemas tergantung di udara setinggi 500 kaki, selepas perancah bangunan dalam pembinaan dilaporkan telah runtuh, lapor Mirror.
Pekerja binaan itu tergantung selepas struktur di antara dua menara 33 tingkat yang sedang dibina itu runtuh.
Rakaman mengerikan telah menunjukkan beberapa pekerja dilihat tergantung berpaut pada tali di udara sambil menunggu bantuan.
Susulan kejadian itu, sepuluh jentera bomba dihantar ke tempat kejadian yang terletak di Sao Paulo, Brazil.
Selain itu, sebuah helikopter polis juga turut dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu proses menyelamat tersebut.
Menurut laporan media tempatan, runtuhan itu telah menyebabkan seramai lapan orang pekerja binaan tergantung di udara.

Rakaman kejadian itu juga menunjukkan sekurang-kurangnya empat pekerja dilihat bermati-matian berpaut pada kabel ketika mereka tergantung di udara.
Saksi dikenali sebagai Lidiane Dias memberitahu media tempatan bahawa pekerja yang berpaut itu segera diselamatkan dengan menggunakan kren.

Lidiane, yang memiliki kedai gunting rambut berhampiran berkata: “Bunyi sangat kuat, banyak objek jatuh. Struktur itu jatuh. Kami tidak dapat melihat di mana serpihan itu jatuh kerana ia berada di dalam tapak pembinaan.”
Tidak jelas sama ada individu itu terjatuh dari pelantar atau ditimpa serpihan yang jatuh ketika melalui bawah perancah yang runtuh tersebut.
Dalam pada itu, pihak berkuasa negeri Sao Paulo berkata bahawa mereka sedang menyiasat tragedi ngeri itu.
BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’
Sementara itu, firma pembinaan EZTEC yang menjalankan projek itu telah mengeluarkan kenyataan mereka berhubung kejadian itu.
“Meskipun dilengkapi peralatan keselamatan dan perlindungan, salah seorang pekerja dilaporkan meninggal dunia.
“Kes itu dalam siasatan dan apa yang diketahui ialah terdapat kemalangan berlaku di platform kerja dan keselamatan. Syarikat akan mengikut semua cadangan daripada pihak berkuasa yang berwibawa,” kata syarikat pembinaan itu.
Lapor media tempatan menara berkembar setinggi 134 meter itu dijangka akan siap pada tahun 2025 depan.
Sumber: Mirror