Unit tentera Rusia yang berada di sempadan Ukraine dikatakan telah bergerak ke ‘posisi serangan’, menurut salah seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).
Lapor Mirror, beberapa meriam jarak jauh dan pelancar roket juga telah dipindahkan ke posisi tembakan untuk mengancam Ukraine.
BACA: Sejurus Putin Keluarkan Arahan, Peluru Berpandu & Bom Boleh Mendarat Di Bandar Ukraine
Sumber yang memberitahu CBS News juga berkata, AS berpendapat bahawa Rusia dijangka akan menyerang Ukraine menjelang hujung minggu ini.
Situasi tersebut dilaporkan selepas Setiausaha Luar Britain, Liz Truss memberi peringatan bahawa Rusia mampu bertindak menceroboh Ukraine ‘hampir serta-merta’.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson turut menggesa Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk berundur kerana bimbang bakal berlaku pencerobohan dalam tempoh 48 jam akan datang.
Walaupun Putin meyakinkan bahawa pihaknya tidak merancang untuk menyerang, namun kini lebih 130,000 tentera Rusia dilaporkan telah berkumpul di sempadan Ukraine.
Masyarakat Ukraine termasuk wanita dan kanak-kanak pula sedang diajar bagaimana untuk mengendalikan senjata sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku serangan.
Sementara itu, tentera sukarelawan Ukraine dikatakan sedang giat berlatih dengan senapang kayu sebelum serangan Rusia dilancarkan.
Manakala tentera simpanan negara itu dilaporkan menjalani latihan pada Sabtu, di mana sebahagian dari mereka hanya mengenakan pakaian sukan dan berlatih menggunakan senjata tiruan.
Pasukan tentera profesional Rusia dikatakan jauh lebih besar dan mempunyai kelengkapan yang lebih baik berbanding pasukan Ukraine.
Walaupun pasukan pertahanan Ukraine mempunyai peluang yang tipis menentang Rusia, namun pasukan simpanan tetap ditugaskan untuk melindungi penempatan orang awam di tengah-tengah ibu negara bagi mengelak sebarang konflik.
Sekiranya serangan terhadap Ukraine dilancarkan, tidak banyak maklumat yang bakal diperolehi kerana pengawasan yang terhad.
Lapor CBS, Amerika Syarikat tidak mempunyai tentera di sana, mahupun pesawat peninjau. Tambahan pula, Rusia berkemungkinan memutuskan rangkaian komunikasi setelah serangan dilancarkan.
Penasihat Keselamatan AS, Jake Sullivan berkata, pihaknya telah memantau pembentukan pasukan tentera Rusia sejak 10 hari lalu.
“Kami telah memantau pembentukan pasukan tentera Rusia selama 10 hari yang luar biasa pantas. Melihat pada keadaan itu, tentera Rusia mampu bertindak pada bila-bila masa sahaja,” ujar Sullivan memetik laporan Mirror.
Sumber: Mirror