Seorang gadis dari Florida, Amerika Syarikat telah dinamakan sebagai wanita terpendek di dunia dengan ketinggian hanya 71 sentimeter sahaja, lapor The Mirror.
Wildine Aumoithe, 18 tahun baru-baru ini telah mendapat pengiktirafan sebagai wanita paling pendek daripada Guinness World Records.
Menurut laporan, Aumoithe dikatakan menghidap sindrom kerdil yang jarang sekali ditemui dan dikenali sebagai SADDAN displasia.
Menurut gadis berkenaan, ibu bapanya pernah diberitahu doktor bahawa dia tidak akan dapat hidup lebih 24 jam selepas dia dilahirkan.
Gambar: via The MirrorWalau bagaimanapun keluarga Wildine menentang kemungkinan itu dan pada awal tahun ini mereka dapat menyambut kelahiran ulang tahun Aumoithe yang ke-18, malah dia turut diberi gelaran wanita terpendek di dunia.
Dalam pada itu, dia turut menegaskan bahawa walaupun dalam keadaan sedemikian, dia tetap mempunyai kehidupan yang normal.
Menurut laporan lagi, ketika ibunya iaitu Wilda sedang enam bulan mengandungkan Aumoithe, doktor memberitahu ibu bapanya bahawa dia akan dilahirkan kerdil.
Setelah mendengar diagnosis yang diberitahu oleh doktor, ibunya menangis kerana dia takut dan pada masa itu ibunya tidak tahu apa itu dwarfisme kerana Aumoithe merupakan anak pertamanya.
Tambah Aumoithe, ketika kecil, dia mampu untuk berjalan. Walau bagaimanapun kini, gadis itu terpaksa menggunakan kerusi roda kerana keadaan kakinya yang bengkok, sekali gus menyebabkan dia sukar untuk berjalan.
Menurut Aumoithe ibunya tidak bekerja supaya boleh bersama dengannya sepanjang waktu.
Rumah Aumoithe dilengkapi dengan katil yang telah diubah suai bersesuaian dengan Aumoithe, begitu juga dengan laci dan meja untuk dia bekerja.
Sumber: The Mirror