Pecah Rekod, Lelaki Ini Dah Melawat Setiap Negara Di Dunia
Pengembara berpengalaman dari Amerika Syarikat (AS), Indy Nelson mencipta rekod selepas sudah menjejakkan kaki ke setiap negara di dunia. Malah, lelaki ini turut melawat beberapa negara secara berulang kali seperti Korea Utara.
Menurut portal Guinness World Records, Indy telah mengembara banyak kawasan yang dilanda perang dan ditahan empat kali kerana disyaki menjadi pengintip, termasuk ketika berada di Iran, Libya, Papua New Guinea dan Rusia.
Difahamkan, lelaki terbabit sudah menempah tiket penerbangan dengan 170 syarikat yang berbeza.
Kesemua syarikat ini digunakan untuk perjalanannya selama 18 bulan ke seluruh dunia, yang dia mulakan pada tahun 2017 ketika berusia 22 tahun.
Pengembaraan Indy diiktiraf dalam GWR
Pengembaraannya itu mendatangkan hasil apabila dia kini diiktiraf dalam Guiness World Records untuk kategori paling banyak menggunakan syarikat penerbangan.
Terdahulu, rekod sama pernah dipegang oleh lelaki Jepun bernama Ryuji Furusho, yang menggunakan 156 syarikat penerbangan dari 1996 hingga 2014.
Pada awalnya, Indy tidak berniat untuk memecahkan rekod itu, bahkan dia hanya menyedari dia telah mencipta rekod baharu selepas pulang ke AS.
Menurut portal Guinness World Records, dia mula-mula mendapat idea untuk melawat setiap negara selepas menikmati percutian musim bunga ke Korea Utara, yang disifatkannya sebagai ‘negara yang menarik’.

Beberapa kawasan mempunyai zon konflik
Selepas menamatkan pengajian di kolej, Indy membuat pinjaman sebanyak $80,000 dan memulakan perjalanan ke seluruh dunia.
Lelaki tersebut cuba mengelakkan zon konflik dengan merancang perjalanannya dengan teliti, tetapi ia sukar kerana setiap negara mempunyai konflik tidak menentu di beberapa kawasan.
Negara yang paling tidak disukai Indy ialah Comoros, negara pulau di luar pantai tenggara Afrika, tempat dia bertemu dengan orang yang terlalu tidak mesra.
Manakala, negara kegemarannya adalah Kemboja di mana dia menikmati budaya dan penduduk tempatan yang sangat mesra.

Mengakui syarikat penerbangan di Timur Tengah adalah terbaik
Indy bernasib baik kerana dia tidak mengalami pengalaman buruk dengan mana-mana syarikat penerbangan. Dari kira-kira 500 penerbangan yang digunakan, hanya dua penerbangan terpaksa dibatalkan.
Dari segi syarikat penerbangan, Emirates dan Qatar Airways adalah kegemaran Indy, walaupun dia mengakui mana-mana syarikat penerbangan di Timur Tengah adalah hebat.
“Lakukan saja. Lakukan semasa anda masih muda. Keluar dari zon selesa anda – pergi selama tiga bulan, pergi ke India, pergi ke Kemboja, atau Asia tengah.
“Ia mengubah pengetahuan asas anda, mengubah siapa anda, mengubah pandangan anda tentang dunia,” nasihat Indy kepada orang ramai.

BACA: Tanah Jerlus: Insiden Berlaku Akibat Antropogenik, Cuaca Dan Hakisan Lapisan Tanah Tambak – NRES
Sumber: Guiness World Records