
Pecah Rekod EPL, Enzo Fernandez Sah Sarung Jersi Nombor 5 Ganti Jorginho
Pemain Argentina, Enzo Fernandez menjadi pemain terbaru yang memegang rekod dalam Liga Perdana Inggeris selepas berjaya menandatangai kontrak perpindahan sebanyak 106 juta pound sterling ke Stamford Bridge pada saat akhir, lapor Metro UK.
Benfica sebelum ini bertegas bahawa pemain berusia 22 tahun itu tidak akan dijual, namun Chelsea berjaya meyakinkan kelab itu dan akhirnya perpindahan berjaya dilakukan sekitar jam 10 malam pada Selasa lalu.
Keputusan itu dibuat hanya dua jam sebelum tamat tempoh proses perpindahan pemain.
Fernandez yang merakam temu bual pertamanya dengan The Blues telah mendedahkan nombor jersi terbaharu yang akan dipakainya bersama kelab tersebut.
Sebelum ini, Fernandez memakai jersi nombor 24 ketika bermain untuk Argentina dalam perlawanan kejuaran Piala Dunia 2022.
Fernandez telah memutuskan untuk memakai jersi nombor 5 yang baru sahaja dikosongkan oleh Jorginho yang meninggalkan Chelsea untuk bermain di Arsenal pada hari terakhir perpindahan pemain.

Nombor itu dipercayai tidak mempunyai nilai sentimental bagi Fernandez, tetapi ia adalah pilihan yang terbaik untuk pemain termahal bagi Liga Perdana Inggeris yang terbaharu itu.
Selain mengambil gambar sewaktu acara pembukaan rasmi di Cobham pada petang Rabu, Fernandez juga dilaporkan telah bertemu dengan kakitangan kelab buat pertama kalinya.
“Saya berterima kasih kepada Chelsea dan pemiliknya kerana melakukan segala yang mereka mampu untuk menjadikan saya sebahagian daripada projek ini.
“Saya gembira dan teruja untuk menyertai Pride of London dan bermain dalam liga terbaik dunia untuk merebut trofi terbesarnya. Saya tidak sabar untuk bermain di hadapan peminat kami dan membantu rakan sepasukan saya di dalam dan di luar padang,” kata Fernandez dalam acara tersebut.
Sumber: Metro UK