PDRM Akan Ambil Tindakan Tegas Isu Penipuan Topeng Muka – Ismail Sabri

Aqmal Ezany

Menteri Kanan (Bahagian Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ambil tindakan tegas terhadap isu penipuan topeng muka.

Menurutnya dalam sidang media harian PKP yang diadakan sebentar tadi, kerugian yang dianggarkan daripada kes penipuan penjualan penutup muka ini mencecah sehingga RM4.2 juta.

Oleh yang demikian, pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang didapati bersalah atas kes penipuan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau juga turut mengingatkan kepada orang ramai bahawa PKP masih lagi berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelonggaran.

Menurutnya, setakat semalam sahaja, pihak Polis Diraja Malaysia telah menangkap seramai 1,174 individu yang ingkar PKP, dengan 1012 orang direman dan 162 lagi dilepaskan dengan jaminan polis.

Sehubungan dengan itu, kerajaan menyeru agar rakyat terus patuh kepada PKP fasa ketiga dan hanya keluar rumah kecuali atas urusan penting sahaja.

Sumber: Bernama