GEORGE TOWN, 31 Mac (Bernama) — Saluran paip dasar laut berkembar ketiga Pulau Pinang (PTSP ke-3) kini beroperasi bagi menyalurkan sehingga 315 juta liter air terawat sehari (JLH), dari Seberang Perai ke bahagian pulau.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata set saluran paip dasar laut berkembar yang baharu itu akan menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua) di Seberang Perai ke Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar di bahagian pulau.
“PTSP ke-3 beroperasi bermula 19 Nov 2020 sebagai komponen utama pelan kontingensi berterusan PBAPP untuk memastikan kecukupan bekalan air di Pulau Pinang pada era perubahan iklim ini,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Air yang dirawat dari Bukit Dumbar, kata beliau, boleh dipam untuk sampai sehingga ke Balik Pulau untuk memastikan bekalan air yang berterusan, terutamanya pada musim kering yang berpanjangan.
Jaseni berkata antara faedah utama PTSP ke-3 adalah dapat meningkatkan keselamatan bekalan air untuk semua pengguna air domestik dan perniagaan di Pulau Pinang iaitu PBAPP kini boleh mengepam lebih banyak air dengan selamat dari LRA Sungai Dua ke pulau setiap hari.
“Ketersediaan lebih banyak air terawat membantu mengurangkan risiko perubahan iklim dan peningkatan permintaan air di bahagian pulau,” katanya.
Jaseni berkata dengan lebih banyak air yang tersedia melalui PTSP ke-3, PBAPP mempunyai pilihan untuk meminimumkan pengeluaran dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang setiap hari pada musim kemarau yang dilihat akan memanjangkan simpanan dua empangan itu sehingga hujan turun untuk mengisi empangan dari September hingga Disember setiap tahun.
Pengoperasian PTSP ke-3, katanya, menyokong ikrar PBAPP untuk mengekalkan bekalan air yang berterusan di Pulau Pinang iaitu pada masa sekarang dan dalam era pasca pemulihan pandemik COVID-19.
— BERNAMA