Kasih sayang tak mengenal sempadan bangsa atau agama. Bagaikan serumpun bak serai, sesusun bak sirih, pertalian erat dalam kalangan rakyat berbagai bangsa di Malaysia harus dipelihara demi keharmonian bersama.
Baru-baru ini, seorang wanita meraih pujian orang ramai susulan tindakannya melindungi seorang warga emas daripada terik mentari.
Biarpun tidak mengenali antara satu sama lain, beliau tidak kekok ‘memayungkan’ wanita di hadapan dengan fail miliknya.
Terharu dengan kasih sayang ditunjukkan wanita itu, cucu kepada warga emas berkenaan, Privitha Maimaran telah menzahirkan ucapan terima kasihnya di Facebook mewakili ahli keluarganya.
Sebab saya kongsikan gambar ini ialah ketika ini, masih ada orang di luar sana yang tak pernah membezakan antara individu rasis dan menghormati orang tua daripada pelbagai bangsa.

Kiriman Privitha mendapat lebih 12 ribu tanda suka dan lebih 7.7 ribu perkongsian dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Rata-rata warga maya memuji wanita di dalam gambar berkenaan di samping menzahirkan rasa syukur tinggal di negara Malaysia yang aman.
Malah, ada antara mereka yang berkongsi pengalaman serupa ketika bersama individu lain yang berbeza bangsa.







Daripada ribuan komen yang membanjiri kiriman Privitha, tampil seorang wanita dipercayai individu di dalam gambar.
Dikenali sebagai Rina, wanita itu menyampaikan kiriman salam buat nenek berkenaan.
“Dear Privitha, jangan risau. Saya gembira tolong nenek. Sangat panas ketika itu. Sampaikan salam untuk aunty,” katanya.
