Pawagam Di Indonesia Tayang Video Prabowo Sebelum Filem Bermula
Rakyat Indonesia baru-baru ini dikejutkan dengan tayangan video Presiden Prabowo Subianto di pawagam sebelum filem bermula, lapor TribunNews.
Istana Negara menerusi Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Prasetyo Hadi menjelaskan bahawa penggunaan media awam untuk menyampaikan mesej merupakan perkara biasa selagi tidak melanggar peraturan.
“Sekiranya tayangan video itu tidak melanggar peraturan, tidak mengganggu keselesaan orang ramai, maka penggunaan media awam untuk menyampaikan sesuatu mesej merupakan perkara yang biasa,” kata beliau.
Video yang ditayangkan berupa iklan yang memaparkan pelbagai aktiviti serta program kerajaan.
Iklan berkenaan turut memuatkan kenyataan Presiden mengenai usaha kerajaan membasmi kemiskinan dan akan ditayangkan di pawagam sebelum filem diputar.
Selain itu, rakaman video juga memaparkan angka-angka pencapaian program kerajaan yang telah berjalan.
Antaranya jumlah keseluruhan pengeluaran beras, perluasan sawah, eksport jagung, jumlah penerima program MBG (Makan Bergizi Gratis), jumlah SPPG (Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi), jumlah koperasi desa Merah Putih, serta jumlah sekolah rakyat.
“Kita mahu bersatu demi rakyat Indonesia dan ingin hapuskan kemiskinan dari negara ini
“Kita mesti menjawab tuntutan rakyat pada hari ini, bukan nanti. Masalah itu perlu diatasi sekarang. Rakyat menuntut sekarang,” demikian kenyataan Prabowo dalam rakaman video yang ditayangkan di pawagam.
Sumber: TribunNews