KUALA LUMPUR, 12 Nov – Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) telah menarik semula kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) pada 30 Oktober lalu.
Persatuan itu menerusi satu kenyataan berkata, tujuan kenyataan ‘YDPA Should Not Interfere in National Affairs’ yang dipaparkan di halaman Facebook Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris UMANY itu bukanlah untuk perkara negatif.
“Kita ingin menekankan sekali lagi pendirian kita, iaitu kenyataan yang dinyatakan pada 30 Oktober adalah untuk tujuan perbincangan akademik dan tidak berniat jahat untuk menghasut.
“Tambahan pula, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia juga merupakan undang-undang zalim yang menindas kebebasan bersuara rakyat.
“Kita menuntut pihak polis untuk menghentikan segala siasatan yang dijalankan di bawah akta- akta tersebut terhadap ahli-ahli UMANY dan menggesa kerajaan agar memansuhkan undang-undang zalim ini yang menyekat kebebasan bersuara,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Dalam pada itu, persatuan tersebut juga menegaskan bahawa mereka masih mematuhi sistem raja berperlembagaan di Malaysia serta menghormati peranan YDPA dalam perlembagaan.
“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, pihak UMANY ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap perlembagaan.
“Pihak UMANY juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan solidariti kepada pihak kami semasa pihak kami dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan.
“Kami akan meneruskan usaha dalam memupuk dan mempertahankan kebebasan demokrasi di Malaysia bersama dengan masyarakat sivik demi Malaysia yang lebih baik,” tambah kenyataan itu lagi.
Sumber: UMANY