
Pasukan Baju Merah Misteri Agih Bantuan Di Tawau, Buat Ramai Tersentuh
Bersedekah merupakan salah satu amalan yang sangat mulia dan wajar dijadikan sebagai contoh yang baik. Malah, dalam Islam, sedekah adalah ibadah yang sangat dianjurkan dan memiliki nilai pahala yang besar.
Bercakap mengenainya, hari ini tular satu perkongsian mengenai agihan barangan keperluan asas kepada individu yang memerlukan di sekitar Tawau, Sabah.
Apa yang menarik perhatian adalah bantuan tersebut diagihkan oleh sekumpulan individu yang memakai topeng muka dan berbaju merah.
Menerusi perkongsian 8hannels di Facebook, kumpulan itu dikenali sebagai Pasukan Misteri Baju Merah.
“Warga Tawau memang terbaik. Pengagihan barangan keperluan pusingan pertama oleh Pasukan Misteri Baju Merah berjalan lancar di Dewan Masyarakat Tawau pada pukul 11 pagi tadi.
“Warga Tawau sabar beratur untuk mendapatkan barangan bantuan ini. Prosesnya teratur kerana semua orang yang berbaris patuhi arahan,” tulisnya.
Dalam perkongsian yang lain, pasukan itu juga telah mengagihkan bantuan di lokasi lain di daerah itu.
“Informasi pukul 2.27 petang, kini berlangsung pengagihan barangan keperluan pusingan ke-2. Lokasinya di Kong Fa bandar Tawau.
“Harap bersabar bagi kamu yang berbaris sebab barisannya panjang. Sesiapa yang ingin dapatkan barangan bantuan ini boleh juga datang berbaris,” katanya.
Sebelum ini, 8hannels juga ada memaklumkan bahawa pasukan itu kembali lagi untuk memberi bantuan kepada orang ramai.
Untuk pengetahuan, mereka pernah tular pada tahun lalu kerana tindakan yang sama.
Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai identiti pasukan itu masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.
Sumber: 8hannels