Posisi kapal selam KRI Nanggala-402 yang berada pada kedalaman kira-kira 850 meter menyukarkan usaha pasukan mencari dan menyelamat untuk mengangkat kapal berkenaan ke permukaan.
Ketua Angkatan Laut (KSAL) Laksamana Yudo Margono berkata, kedudukan kapal pada kedalaman tersebut sukar untuk diangkat menggunakan kapal selam atau ROV (kenderaan bawah air yang dikendalikan dari jarak jauh) selain keadaan kapal yang mengalami keretakan yang cukup besar.
“Dengan alat (serpihan dan barangan) yang sudah dijumpai, terjadi keretakan kerana apabila mencapai kedalaman 700-800 meter, pasti ada keretakan di kapal selam.
“Barangan pun sudah keluar, kerana barang ini sebenarnya ada di dalam kapal termasuk penahan atau pelurus torpedo juga keluar, jadi pasti ada keretakan besar berlaku,” kata Yudo dalam sidang media di Bali pada Sabtu seperti memetik Kompas.
Pada masa yang sama, beliau turut mengesyaki air laut telah memasuki kapal selam, tetapi mungkin tidak semua kerana terdapat bahagian di dalam KRI Nanggala-402 yang kedap udara dan tak akan dimasuki air, walaupun berlaku keretakan dalam kapal itu.
“Ada kemungkinan air masuk ke dalam kapal, tetapi mungkin ada bahagian dalam kabin di mana selamat daripada dimasuki air.
“Sekiranya kru sempat menutup bahagian itu, ada kemungkinan air tidak masuk,” jelasnya.
Susulan itu, kata beliau pihaknya akan mengerahkan kapal untuk memindahkan kru yang mungkin masih berada dalam keadaan selamat dan bertahan sehingga saat ini.
“Walau berdepan dengan kesukaran, kami tetap melaksanakan prosedur untuk mengangkat atau memindahkan kapal selam,” katanya.
Pada Rabu sekitar jam 4.25 pagi, KRI Nanggala-402 yang membawa 53 kru dilaporkan terputus hubungan ketika dalam misi latihan penembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI yang lain bersama lima pesawat tempur serta satu lagi kapal selam yang lain.
Sumber: Tribunnews