
Pasangan “Traveller” Banding Malaysia & Eropah, Raih Perhatian Ramai
Malaysia sememangnya terkenal sebagai destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia. Ada yang datang sekadar bercuti, ada pula yang akhirnya memilih untuk menetap, belajar, bekerja, malah bersara di sini.
Dengan landskapnya yang memukau, kepelbagaian budaya dan makanan, serta rakyat yang ramah. Tidak hairanlah ramai pelancong jatuh cinta dengan Malaysia.
Bumi bertuah ini sememangnya unik, memiliki pesona tersendiri yang membezakannya daripada sisi dunia yang lain.
Cakap pasal perbezaan, pasangan “traveller” dari luar negara baru-baru ini menarik perhatian ramai selepas memuat naik video membandingkan Malaysia dengan Eropah.
Dalam video yang dikongsikan di TikTok, pasangan itu membandingkan sewa rumah antara Malaysia dan Eropah, khususnya Slovenia.
Menurut mereka, harga purata sewa bagi sebuah apartmen satu bilik di Slovenia ialah sekitar €700 sebulan (sekitar RM3,388.98).
Namun dengan jumlah sama, rumah yang mereka dapat di Kuala Lumpur amat mengejutkan. Ia jauh lebih besar, lengkap dengan pelbagai kemudahan moden.
“Ini juga sebuah apartmen satu bilik. Berbeza dengan unit di Eropah yang selalunya kecil dan sempit, ruang tamu di sini cukup luas hingga boleh memuatkan sebuah keluarga kecil dengan selesa.
“Apa yang menjadikan apartmen ini lebih istimewa ialah kemudahan lengkap yang ditawarkan dalam bangunan.
“Ini termasuk kolam renang, gimnasium, gelanggang skuasy dalam bangunan, dan juga gim khas untuk wanita bagi mengelakkan situasi janggal semasa bersenam.
“Menariknya, struktur dan kemudahan sebegini sebenarnya amat biasa bagi bangunan kediaman di Kuala Lumpur.
“Lebih mengejutkan, sewa minimum di bangunan ini bermula daripada hanya €100 (sekitar RM484.14) sebulan,” katanya sambil menunjukkan keadaan apartmen yang disewa mereka di Kuala Lumpur.
Tidak hanya itu, dalam video lain, pasangan itu turut berkongsi tentang perbezaan budaya antara Malaysia dan Eropah.
Antaranya, mereka kagum dengan peraturan larangan merokok di tempat awam.
“Di Malaysia, merokok tidak begitu popular dan ia juga tidak dibenarkan di banyak tempat. Malah di kawasan terbuka sepenuhnya pun aktiviti merokok adalah dilarang. Ia sesuatu yang jarang sekali dilihat di Eropah,” katanya.
Selain itu, mereka juga tertarik dengan reka bentuk tandas di Malaysia yang biasanya mempunyai dua pilihan, tandas duduk dan tandas cangkung.
“Ini sesuatu yang hampir mustahil dijumpai di kebanyakan negara Eropah, sama ada di tempat awam atau restoran,” jelasnya.
Tidak berhenti di situ, mereka turut memuji sistem pembayaran digital Malaysia. Ini terutama penggunaan imbasan kod QR (QR Pay) yang sangat meluas, walaupun di gerai tepi jalan.
BACA: “Disuruh buat susu anak…” – Suami ‘Mamai’ Bawa Benda Lain Masuk Bilik
Sumber: TikTok @maukatravels