Pembelian rumah memerlukan pelbagai prosedur dan melibatkan proses yang panjang. Oleh itu, ia mungkin mengambil masa beberapa bulan sebelum kunci rumah sampai di tangan anda.
Bagi anda yang ingin membeli rumah buat kali pertama, mungkin kadangkala keliru apakah prosedur yang sepatutnya dilakukan. Perlu jumpa pegawai bank atau pemilik rumah dahulu? Bayar deposit atau mohon pinjaman dahulu?
Usah bimbang, tips aliran pembelian rumah oleh saudara Afiq Shamnazri ini mungkin membantu anda. Mari baca panduan dikongsikan beliau di bawah.

Menurut Afiq, terdapat tiga fasa proses pembelian rumah iaitu fasa persediaan, pembelian dan penukaran nama. Ketiga-tiga fasa ini mempunyai langkah-langkah khusus yang perlu diberikan perhatian.
Bagi fasa pertama, anda perlu menyemak kelayakan pinjaman (loan) berdasarkan pendapatan, rekod CCRIS dan pemarkahan kredit (scoring).
Pihak bank akan membuat penilaian ke atas kemampuan kewangan anda, kemudiannya barulah anda boleh mencari rumah bersesuaian mengikut kadar ditawarkan.
Perlu diingat, tiada bank yang terbaik, namun ada bank yang sesuai mengikut latar belakang dan keperluan anda. Oleh itu, anda perlu menyemak dan mengkaji pakej dari pelbagai bank sebagai perbandingan.
Ketika fasa pembelian inilah anda boleh mencari rumah yang berada dalam kelayakan pinjaman tadi. Pilihlah mengikut kriteria yang anda perlukan dan bandingkan beberapa buah rumah sebelum membuat pembelian.
Untuk proses tempahan, anda diingatkan agar tidak membayarnya secara terus kepada akaun peribadi pemilik rumah. Hal ini bagi mengelakkan konflik jika pinjaman anda tidak diluluskan pada kemudian hari.
Bagi proses melibatkan rumah pegangan bebas (freehold), kebiasaan masa yang diambil ialah 3 hingga 4 bulan manakala pegangan pajakan (leasehold) mengambil masa lebih lama iaitu enam hingga 12 bulan atau setahun.
Sumber: Afiq Shamnazri