
Bekas Presiden Sr Lanka, Gotabaya Rajapaksa telah meninggalkan Singapura pada Khamis semalam selepas memasuki negara tersebut sebulan yang lalu dengan menggunakan pas lawatan jangka masa pendek.
“Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) mengesahkan bahawa Gotabaya Rajapaksa telah meninggalkan Singapura pada 11 Ogos 2022,” memetik laporan agensi berita Singapura, Channel News Asia (CNA).
Difahamkan, pas lawatan jangka masa pendek yang digunakan Rajapaksa telah luput pada Khamis 11 Ogos semalam, iaitu hari yang sama beliau keluar dari Singapura.

Sebelum ini, Rajapaksa mendapat pas lawatan selama 14 hari semasa tiba di Singapura pada 14 Julai lalu. Kemudian, tarikh luput pas tersebut dilanjutkan selama 14 hari dari tarikh asal iaitu sehingga 11 Ogos.
Beliau yang melarikan diri dari Sri Lanka sewaktu bantahan besar-besaran rakyatnya berhubung krisis ekonomi negaranya, dijangka tiba di Thailand pada hari yang sama (semalam).
Sementara itu, pihak berkuasa Thailand berkata bahawa bekas presiden tersebut tidak berhasrat untuk mendapatkan suaka politik, sebaliknya hanya akan menetap di sana buat sementara waktu.
“Ini adalah isu kemanusiaan dan terdapat perjanjian bahawa ini (kedatangan Rajapaksa) adalah penginapan sementara,” kata Perdana Menteri Thailand, Prayuth Prayut Chan-o-cha kepada pemberita.
Menteri Luar Negeri, Don Pramudwinai berkata bahawa kini, kerajaan Sri Lanka telah menyokong lawatan Rajapaksa ke Thailand. Tambahnya, pasport diplomatik yang dimiliki bekas presiden itu membolehkannya untuk menetap di sana selama 90 hari.
Sebelum ini, berpuluh-puluh ribu orang telah menyerbu kediaman rasmi Rajapaksa pada bulan lalu disebabkan krisis kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk.
Perkara itu menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri ke Maldives dan kemudiannya Singapura, yang mana tempat beliau mengumumkan perletakan jawatannya, menurut keratan artikel terdahulu.

Pengkritik dan penunjuk perasaan juga menuduh beliau dan keluarganya gagal dalam mengendalikan ekonomi sepanjang tempohnya sebagai presiden.
Malah kegagalan itu telah membawa kepada krisis kewangan terburuk negara itu sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948.
BACA JUGA: Sri Lanka Bergolak: Presiden Rajapaksa Tinggalkan Maldives, Terbang Ke Singapura
Sumber: Channel News Asia