Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan Ahli-ahli Parlimennya menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu juga tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional.
“Ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara dan usaha menangani penularan wabak COVID-19, serta usaha membantu rakyat yang terjejas teruk kini.
“Walau bagaimanapun, PAS kekal yakin dengan asas penubuhan Muafakat Nasional yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara,” katanya.
Tuan Ibrahim yang juga selaku Menteri Alam Sekitar berkata demikian menerusi satu kenyataan media rasmi PAS hari ini.
Mengimbas kembali, UMNO secara rasminya telah menarik sokongan terhadap kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Sebaliknya parti tersebut dilapor memilih untuk setia berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sumber: FB Presiden PAS