KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Sebanyak enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan sejak 2018 hingga kini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kebanyakan mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi kerja atau hadir mesyuarat sehingga terlupa anak mereka berada di dalam kereta.
“Pada tahun ini sebanyak dua kes dilaporkan, 2019 dan 2018 masing-masing dua kes. Walaupun, bilangan kes tidak menunjukkan jumlah yang besar, namun ia melibatkan nyawa anak kepada ibu bapa dan penjaganya.
“Memandangkan kes ini satu isu yang begitu besar dan betapa seriusnya insiden sebegini, kementerian mengambil langkah pencegahan advokasi dan intervensi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu situasi semasa serta tindakan konklusif KPWKM dalam menangani kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta secara tidak sengaja oleh ibu bapa mahupun penjaga.
Sumber: BERNAMA