
Paraguay ‘Ganti’ Pegawai, Gara-gara Kena ‘Lipat’ & “Sign” MoU Dengan Negara Tak Wujud
Seorang pegawai atasan dalam Kementerian Pertanian Paraguay dilapor telah digantikan pada minggu ini selepas mengaku diperdaya oleh wakil diplomat dari negara yang tidak wujud.
Menurut laporan portal berita antarabangsa, DW, pegawai berkenaan dilapor mengadakan pertemuan dengan seorang diplomat yang mengaku mewakili United States of Kailasa, baru-baru ini.
Negara berkenaan dikatakan terletak di sebuah kawasan kepulauan di Amerika Selatan.
Pegawai Paraguay tandatangan MoU dengan negara tak wujud
Mereka kemudian menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dalam pertemuan berkenaan. MoU yang ditandatangani dipercayai perjanjian untuk memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam laporan DW, dokumen yang ditandatangani itu turut mempunyai cop mohor dan jata negara Kailasa. Antara isi kandungan lain adalah memuji usaha dan peranan Paraguay di peringkat antarabangsa.
Selain itu, dokumen berkenaan turut menyeru Paraguay melakukan desakan dalam beberapa organisasi antarabangsa termasuk PBB untuk mengiktiraf Kailasa.
“Mereka datang ke negara ini dan menyatakan harapan untuk membantu Paraguay. Mereka juga membentangkan beberapa buah projek dan kami mendengarnya satu per satu,” kata pegawai kerajaan Paraguay itu.
Pegawai kerajaan Paraguay itu juga mendakwa wakil negara yang tidak wujud itu turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian negara berkenaan.
Selepas mengetahui status ‘negara’ tersebut, Kementerian Pertanian mengeluarkan satu kenyataan dan mendakwa bahawa terdapat kesilapan prosedur yang dilakukan pihaknya.
Kementerian itu juga menjelaskan memorandum itu tidak boleh dianggap rasmi dan tidak memberikan sebarang kewajipan ke atas Paraguay.
Dalam pada itu, pegawai berkenaan dan Kementerian Pertanian Paraguay bukanlah penjawat awam pertama yang terkena helah yang digunakan wakil negara United States of Kailasa ini.
Menurut DW, wakil negara Kailasa itu merupakan seorang pemimpin kultus dan pernah memperdaya banyak pihak sebelum ini.
Individu itu juga dikehendaki pihak berkuasa negara asalnya kerana disabitkan dengan pelbagai pertuduhan jenayah termasuklah, jenayah seksual.
Terdahulu, beberapa individu yang mendakwa mewakili United States of Kailasa pernah hadir dalam dua acara yang dianjurkan PBB di Geneva, Switzerland pada awal tahun ini.
Namun begitu, wakil PBB mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran wakil-wakil berkenaan telah ditolak.
Wakil pentadbiran bandar Newark, di New Jersey, Amerika Syarikat sebelum ini juga pernah membuat permohonan maaf selepas tersilap menerima kehadiran delegasi Kailasa di bandar itu selama lima hari.
BACA: Mikroplastik: Sampah Kini Jadi Sebahagian Daripada Tubuh Kita
Sumber: DW