
KAMPAR, 29 Jan (Bernama) — Papan tanda informasi sejarah Perang Dunia Kedua ‘Battle of Kampar’ kembali didirikan di Green Ridge di sini hari ini selepas papan tanda asalnya dicuri individu tidak bertanggungjawab, awal bulan ini.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) Shaharom Ahmad berkata penggantian papan tanda itu melibatkan kos kira-kira RM1,000 termasuk sumbangan orang perseorangan.
“Kita rasa janggal dan tidak lengkap sekiranya pengunjung datang namun tiada maklumat berkaitan sejarah tempat ini, jadi kami harap papan tanda ini tidak hilang lagi.
“Kali ini papan tanda berserta logo Geopark Lembah Kinta itu dipasang dengan lebih kukuh supaya tidak mudah ditarik keluar dan dicuri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Persatuan Warisan Perak Nor Hisham Zulkiflee.
Shaharom turut meminta orang ramai khususnya penduduk sekitar supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlihat individu mencurigakan yang cuba mencuri besi papan tanda tersebut untuk dijual atau sebagainya
Beliau berkata kerjasama pihak berkuasa juga diharapkan dengan melakukan rondaan di kawasan itu bagi mengelak perkara sama berulang.
Menurutnya MHG turut bercadang untuk menambah infrastruktur di kawasan itu selain membaik pulih laluan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong.
“Kehilangan papan tanda asal tidak membantutkan hasrat persatuan (MHG) bagi melestarikan tapak sejarah seperti di Green Ridge ini.
“Kami dengan kerjasama Tourism Perak sedang merancang untuk memasang papan tanda sejarah di Jambatan Victoria, Kuala Kangsar dan di beberapa lokasi bersejarah di Perak,” katanya.
Shaharom berkata tidak banyak penambahbaikan dapat dilakukan dan kemudahan dapat dibina di Green Ridge selagi ia belum digazetkan sebagai tapak warisan selain lokasi sejarah itu masih merupakan milik persendirian.
Kehilangan papan tanda informasi yang dipasang di Jalan Ipoh-Kampar sejak dua tahun lepas itu disedari oleh ahli persatuan yang melalui kawasan tersebut pada 3 Jan lepas.
Pada 5 Jan lepas, polis menahan seorang penganggur berusia lingkungan 30-an kerana disyaki mencuri papan tanda berkenaan dan hasil soal siasat, suspek mengaku mula aktif mencuri besi di tepi jalan sekitar Kampar sejak seminggu sebelum kejadian.
Sumber: Bernama