Tiga pantai di selatan Sydney, Australia, yang dibuka lima hari lalu setelah ditutup akibat wabak Covid-19 kini ditutup semula, menurut kenyataan Majlis Bandaraya Randwick.
Menurut kenyataan, Pantai Clovelly, Coogee dan Maroubra ditutup pada Jumaat, jam 1 petang selepas pihak berkuasa mendapati ”orang ramai gagal menggunakan pantai untuk tujuan bersenam sahaja.”
Ketiga-tiga pantai tersebut hanya akan dibuka semula pada Sabtu dan Ahad di antara jam 6 pagi hingga 9 pagi untuk aktiviti bersenam dan keputusan akan dinilai semua pada Isnin, menurut Majlis Bandaraya Randwick.
Pada Rabu, Majlis Bandaraya Waverly turut mengumumkan untuk membuka semula Pantai Bondi dan Bronte pada Selasa (28 April 2020) untuk tujuan berenang dan sukan luncur.
Manakala, semua aktiviti darat di pantai seperti berjoging, berjemur dan perhimpunan awam tidak dibenarkan sama sekali.
Mac lalu, Pantai Bondi yang terkenal di Sydney telah ditutup setelah ribuan pengunjung mengabaikan nasihat pihak berkuasa untuk mengelak dari melakukan perhimpunan dan tidka menjaga jarak sosial.
Setakat Jumaat (24 April 2020), Australia telah mencatatkan 6,675 kes jangkitan Covid-19 dan 78 kematian turut direkodkan.
Sumber: CNN