Satu video yang memaparkan detik cemas penumpang pesawat Garuda dilanda gelora udara atau ‘air turbulence’ tular di laman Instagram.
Video tersebut difahamkan telah dirakam oleh salah seorang penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut.
Penumpang tersebut dipercayai merakam suasana panik itu menggunakan telefon bimbit miliknya. Di dalam kabin pesawat, dapat didengari suara beberapa orang yang lain sedang menjerit ketakutan.
Ada juga yang dirakam sedang beristighfar, menangis dan memegang kerusi di hadapannya dengan kuat.
“Detik-detik pesawat Garuda yang menuju ke Palu alami gelora udara, suasana di kabin pesawat sangat tegang, Pesawat Garuda Indonesia dari Makassar-Palu dalam keadaan bergelora dan bergoyang kuat pada 29 Mei lalu”, tulis admin Instagram yang memuat naik video tersebut.
Tambahnya lagi, pesawat Garuda Indonesia dengan nombor pendaftaran GA 608 yang berlepas dari Makssar itu dijadualkan mendarat di Bandar Mutiara Sis Aljufri Palu, Sulawesi Tengah (Sulteng), sekitar 14.45 waktu tempatan.
“Namun, saat tayar pesawat hampir menyentuh landasan, tiba-tiba juruterbang membatalkannya kemudian terus naik dan berbelok ke arah kanan.”
Pada ketika itu, pesawat dilaporkan mengalami pergolakan yang sangat kuat sehingga menyebabkan penumpang menangis ketakutan.
“Suasana tiba-tiba berubah tegang apabila suara kanak-kanak menjerit ketakutan. Pesawat gagal mendarat disebabkan adanya angin puting beliung”, ujarnya.
Akibat kejadian tersebut, pesawat akhirnya berjaya mendarat pada pukul 15.10 waktu tempatan, dan mengalami kelewatan selama 25 minit.
Sumber: SuaraKaltim.Id