Pan-Gon berdepan JDT
Kredit: BERNAMA

Pan Gon Akui ‘Gerun’ Berdepan JDT Dalam ACLE

Hannah

Pan Gon Akui ‘Gerun’ Berdepan JDT Dalam ACLE

Pengendali Ulsan HD, Kim Pan Gon, mengakui bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai kelebihan terutama apabila beraksi di laman sendiri.

Beliau berkata demikian menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam Liga Juara-Juara Asia (ACLE) Zon Timur pada Selasa ini.

Menurut Pan Gon, beliau amat memahami kekuatan JDT, terutamanya apabila bermain di Stadium Sultan Ibrahim, yang boleh menimbulkan kesukaran buat pasukannya dari Korea Selatan.

Tambahnya, prestasi Ulsan dalam tiga perlawanan terakhir ACLE juga tidak memberangsangkan, setelah tewas dalam ketiga-tiga perlawanan dan berada di kedudukan tercorot Kumpulan A.

“Saya teruja untuk perlawanan esok menentang JDT yang merupakan salah sebuah pasukan yang bagus di Asia Tenggara.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana dapat membentuk pasukan yang kuat bersaing dalam ACLE.

“Kami tidak dapat keputusan yang baik dalam tiga perlawanan terakhir dan ia sangat mengecewakan. Sebab itu bagi kami perlawanan ini sangat penting dan kami bermotivasi supaya dapat melepasi peringkat kumpulan.

“Saya tahu apa yang telah JDT lakukan dalam tiga perlawanan terakhir, ia persembahan yang cukup baik, tetapi kami juga mahu memberikan persembahan dan kemenangan kepada penyokong kami. Saya juga tahu JDT kuat di laman sendiri dan untuk datang ke sini meraih kemenangan bukan mudah,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan pada Isnin.

Dalam pada itu, Pan Gon mengesahkan pasukannya berdepan isu kecederaan dan tidak dapat membawa beberapa pemain utama.

“Ia agak mengecewakan, tetapi kami akan mengharungi perlawanan ini dan mahu meraih kemenangan,” katanya.

Beliau turut mengakui JDT dilihat telah bersedia sepenuhnya untuk ACLE, termasuk menambah barisan pemain import yang bagus.

“Seperti biasa JDT sentiasa serius dan menggunakan segala kelebihan dengan mendapatkan ramai pemain yang bagus,” katanya.

BACA: Bekalan Runcit NGV Seluruh Negara Ditamatkan Sepenuhnya Pada 1 Julai 2025

BACA: LHDN Tidak Pernah Hantar Pautan Status Bayaran Balik Melalui Portal MyTax

BACA: 6 Maut Dalam Letusan Gunung Berapi Di Pulau Flores, Indonesia

Sumber: Sinar Harian