pam tandas dua butang
Kredit: TikTok

Pam Tandas Ada Dua Butang, Boleh Ke Tekan Serentak?

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Pam Tandas Ada Dua Butang, Boleh Ke Tekan Serentak?

Tandas merupakan salah satu ruang yang sangat penting dalam seluruh isi rumah dan bangunan secara umumnya. Hal ini kerana, setiap manusia perlu menjalani proses perkumuhan dan penyahtinjaan setiap hari.

Kedua-dua proses ini memastikan bahan yang sudah tidak digunakan dalam badan dapat dikeluarkan daripada terkumpul di dalam badan manusia.

Jika bahan-bahan ini masih berada dalam tubuh manusia dalam jangka masa yang lama, sudah semestinya akan memberikan kesan yang buruk pada kesihatan.

Secara umumnya, tandas yang digunakan pada masa kini ada dua jenis iaitu jenis cangkung dan jenis duduk. Disebabkan kebanyakan manusia lebih memilih untuk menggunakan tandas jenis duduk, maka kebanyakan rumah di Malaysia direka untuk memiliki sekurang-kurangnya satu tandas jenis ini.

Tandas jenis duduk ini dapat digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan yang sukar untuk bergerak seperti orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan sebagainya.

Menariknya, tandas jenis ini sering didatangkan dengan dua butang untuk mengepam air ke dalam mangkuk tandas. Malah, kedua-dua butang ini memiliki saiz yang berbeza.

Melihat kedua-dua butang ini, anda semestinya tertanya-tanya sama ada kedua-dua butang ini memiliki fungsinya yang tersendiri.

Persoalan yang turut bermain di fikiran, apa yang akan jadi jika kita menekan kedua-dua butang pam tandas ini secara serentak.

Tak ada istilah ‘screenshot‘, jangan tekan dua butang pam tandas serentak

Jika anda menekan dua butang secara serentak pada telefon pintar, telefon anda akan ‘screenshot’ secara automatik. Mungkin anda membayangkan, tandas di rumah anda mungkin akan melakukan perkara yang sama.

Hakikatnya, bayangan anda meleset kerana kedua-dua butang tersebut bertujuan untuk mengepam air ke dalam mangkuk tandas.

Menurut perkongsian Jamban King (@jambanking_jk) di laman TikTok, dua butang berkenaan memiliki fungsinya yang tersendiri.

Butang yang kecil digunakan untuk mengepam tandas selepas pengguna membuang air kecil. Manakala, butang yang bersaiz besar digunakan untuk mengepam tandas selepas membuang air besar.

Saiz butang ini menggambarkan jumlah air yang digunakan untuk membuang bahan buangan anda dari mangkuk tandas.

Berdasarkan logik, jika bahan buangan anda lebih besar, maka lebih banyak air yang digunakan untuk menolak najis berkenaan ke dalam paip tandas.

“Butang pam yang kecil, tangki simbah akan keluarkan tiga liter air ke dalam mangkuk jamban, manakala butang yang lebih besar pula akan keluarkan enam liter air.

“Jadi, sekiranya kamu membuang air besar, disarankan untuk tekan butang besar. Kalau buang air kecil pula, tekan butang kecil dah memadai,” katanya.

“Kalau saya buat dua urusan dalam pada masa yang sama, saya kena tekan dua-dua butang ke?”

Jawapannya, tidak. Malah tindakan ini sebenarnya memberikan kesan buruk terhadap tandas rumah anda untuk jangka masa yang agak panjang.

“Kalau kamu tekan kedua-dua butang itu secara serentak ia tidak akan mengeluarkan sembilan liter air,” tambahnya.

Jelasnya, tindakan ini akan menyebabkan tandas anda menggunakan lebih banyak air untuk membersihkan bahan buangan anda.

Sudahlah membazir, tindakan ini juga boleh merosakkan butang pam tandas anda dengan lebih cepat. Kalau butang rosak, anda jugalah yang menanggung azab untuk menjirus air ke dalam mangkuk tandas sehinggalah najis anda hilang dari kelibat mata anda.

Oleh sebab itu, anda dinasihatkan untuk tidak menekan kedua-dua butang pam tandas sekaligus dan sayangilah tandas kita, baik di rumah mahupun tandas awam.

BACA: Unik, Rakyat Indonesia Mengundi Pakai Paku & Bukannya Pen

Sumber: @jambanking_jk via TikTok