Seorang pakar sakit puan di Kanada berhadapan tuduhan penyalahgunaan sperma, termasuk benih miliknya bagi menghamilkan pesakit yang mendapatkan khidmatnya, lapor USA Today.
Menurut portal itu, salah seorang mangsa telah mendapati anaknya mempunyai DNA berbeza dengan si suami pada tahun 2016 yang lalu. Pasangan itu dilaporkan telah mendapatkan khidmat perubatan daripada tertuduh pada 1989 dengan menjalani prosedur inseminasi buatan (IUI), di mana sperma ditanam secara langsung ke dalam rahim wanita itu bagi mengatasi masalah kesuburan.
Bagaimanapun pada 2016, keluarga itu mendapati hasil ujian DNA mengesahkan anak mereka mempunyai DNA sepadan dengan tertuduh, kata firma guaman mewakili mangsa-mangsa dalam kes tersebut.
Berdasarkan kenyataan firma itu, seramai 100 kanak-kanak yang dilahirkan selepas khidmat tertuduh tidak mempunyai DNA bapa mereka, di mana 17 daripadanya memiliki DNA sepadan dengan tertuduh manakala 83 lagi gagal dikesan pemilik sperma yang sebenar.
Kredit: Baby CenterLantaran itu, tertuduh yang lesennya telah ditarik balik pada 2019 telah bersetuju untuk membayar wang pampasan sebanyak $10.7 juta (anggaran RM45.3 juta) kepada ratusan mangsanya, tulis portal itu.
Pampasan yang diluluskan mahkamah itu akan dibayar kepada keluarga serta individu yang menerima sampel sperma yang salah ketika prosedur termasuk kepada pemilik sperma yang digunakan tertuduh secara salah untuk proses tersebut.
Wang pampasan itu juga dikatakan akan digunakan untuk mendapatkan data DNA para mangsa termasuk pesakit yang pernah memberikan air mani mereka kepada tertuduh bagi mengesan identiti bapa kandung kanak-kanak terlibat.
Pun begitu, tertuduh dilaporkan menafikan semua dakwaan terhadapnya, sebaliknya bersetuju untuk membayar pampasan bagi mengelakkan kos pembiayaan sekiranya meneruskan perbicaraan.
Sumber: USA Today