Lebih kurang 199,000 orang di tujuh wilayah termasuk di Hokkaido dan Aomori diramal akan terkorban sekiranya gempa bumi berukuran 9 magnitud melanda pantai Pasifik timur laut dan utara Jepun kelak.
Amaran itu telah dikeluarkan oleh kerajaan Jepun pada Selasa, lapor Nikkei Asia.
Majlis Pengurusan Bencana Pusat meramalkan bahawa kebanyakan kematian akan berpunca daripada tsunami yang terhasil dan maksimum 220,000 bangunan boleh musnah jika gempa seperti itu berlaku di sepanjang Trench Jepun.
Kesan daripada bencana alam itu dijangka akan menimbulkan potensi kejatuhan ekonomi untuk wilayah dan negara dengan nilai kerugian keseluruhannya kira-kira 31.3 trillion yen (RM1.1 trilion).
Memetik laporan Nikkei Asia, kerajaan akan mempercepatkan proses pengemaskinian langkah pengurusan bencana memandangkan anggaran kematian di kawasan timur laut dan utara dapat dikurangkan sebanyak 80% jika pemindahan dilakukan tepat pada masanya.
Trench Jepun membentang dari Hokkaido ke timur Semenanjung Boso berhampiran Tokyo, manakala Trench Chishima terletak di pulau utara utama negara itu hingga ke Kepulauan Chishima yang juga dikenali sebagai Kepulauan Kuril.
Kerajaan Jepun telah mengkaji semula pengurusan bencanya berikutan gempa bumi dan tsunami 2011 yang memusnahkan timur laut Jepun.
Dalam pada itu, gempa bumi dengan magnitud lebih daripada 7 telah berlaku di sekitar trench pada masa lalu. Dalam penilaian sebelum ini yang dikeluarkan pada 2006, sehingga 2,700 orang boleh maut sekiranya berlaku gegaran yang kuat.
Kerajaan negara itu juga telah pun menyelesaikan kajian terhadap dua lagi gempa bumi besar yang mungkin berlaku di Nankai Trough dan Tokyo Inland. Mereka mengganggarkan sehingga 323,000 orang boleh terkorban dalam gempa bumi yang berlaku di sepanjang Nankai Trough dan 23,000 orang dalam gempa bumi di pedalaman Tokyo.
Bagi anggaran Trench Jepun dan Trench Chishima, pakar mempertimbangkan beberapa senario berbeza bergantung pada musim dan masa hari bencana. Situasi terburuk ialah gempa bumi mega di sekitar Trench Jepun pada hujung musim sejuk yang memperlihatkan hanya 20% penduduk sempat berpindah dengan segera.
Ketika itu, seramai 137,000 orang boleh terkorban di Hokkaido, 41,000 di Aomori dan 11,000 di Iwate.
Disebabkan itu, langkah segera perlu diambil termasuk membina menara pemindahan tsunami dan lebih banyak struktur tahan gempa. Ia juga boleh mengurangkan kadar kematian iaitu kira-kira 30,000.
Ketinggian tsunami pula boleh mencapai 29.7 meter di Miyako dan 27.9 di Erimo jika gempa berlaku di sekitar di trench itu.
Menerusi animasi yang dicipta untuk memberi amaran kepada orang ramai, tsunami tersebut dilihat boleh menenggelamkan kawasan yang tersenarai dalam sekelip mata saja.
Sumber: Nikkei Asia