Kredit: ImageFX

Pakar Neuropsikologi Larang Buat Perkara ‘Ini’ Sebelum Tidur

Azzwin

Pakar Neuropsikologi Larang Buat Perkara ‘Ini’ Sebelum Tidur

Umum ketahui, tidur yang berkualiti sangat penting untuk kesihatan mental dan fizikal. Ia membantu tubuh berehat, otak memproses memori dan emosi kekal stabil.

Namun begitu, ramai yang masih sukar mendapatkan tidur yang baik walaupun sudah berada di atas katil selama berjam-jam.

Masalah ini kadang-kadang berpunca daripada tabiat malam yang tidak disedari.

Justeru, kali ini SK akan kongsikan satu perkara yang dilarang pakar neuropsikologi untuk dilakukan sebelum tidur, menurut portal Parade.

“Scroll” telefon sebelum tidur

Menurut portal Parade, seorang ahli neuropsikologi berpangkalan di New York dan pengarah Comprehend the Mind, Dr. Sanam Hafeez, menjelaskan bahawa waktu malam ialah tempoh otak menukar mod, menenangkan emosi dan menyediakan sistem ingatan untuk keesokan pagi.

Namun, proses peralihan itu akan terganggu sekiranya seseorang berjaga lewat sambil menatal telefon, bekerja atau merasai kerisauan.

Beliau turut memberi amaran bahawa anda boleh berasa tidak bermaya, mudah marah dan tidak bermotivasi walaupun tidur penuh lapan jam.

Selain itu, Dr. Hafeez yang pakar dalam fungsi kognitif sangat menekankan tentang satu pantang iaitu dia tidak akan menatal telefon sebelum tidur.

Satu kajian pada tahun 2025 menunjukkan bahawa penggunaan skrin selama satu jam selepas baring boleh meningkatkan risiko insomnia sehingga 59 peratus.

Menurutnya, menatal sebelum tidur meningkatkan kemungkinan insomnia kerana ia mengganggu hampir setiap langkah proses tidur semula jadi tubuh.

Cahaya biru menjejaskan tidur

Dr. Hafeez dalam portal Parade juga menerangkan bahawa cahaya biru atau blue light adalah punca utama.

Katanya, cahaya biru memberi kesan kerana otak sangat sensitif terhadap isyarat cahaya.

Apabila suasana mula gelap pada waktu malam, tubuh secara semula jadi menghasilkan lebih banyak melatonin iaitu hormon yang membantu kita rasa mengantuk.

Tetapi bila mata terkena cahaya terang yang kebiruan seperti cahaya skrin telefon, otak akan berhenti menghasilkan hormon mengantuk yang menyebabkan kita sukar untuk tidur.

Inilah yang menyebabkan seseorang susah lena, sukar tidur dan bangun dalam keadaan lesu walaupun cukup tujuh hingga sembilan jam di atas katil.

Dalam jangka masa panjang, kesan cahaya biru boleh menjejaskan mood, fokus dan tahap toleransi terhadap stres. Namun, cahaya biru bukan satu satunya faktor yang menjadikan tabiat menatal sebelum tidur memberi kesan.

Kandungan dalam telefon pengaruh otak

Menurut portal Parade, stimulasi juga menjadi satu isu yang besar.

Apa sahaja yang anda baca pada waktu malam boleh mencetuskan reaksi emosi dan mental yang terbawa sehingga ke dalam tidur.

Difahamkan, notifikasi berita, mesej, hantaran dramatik atau apa sahaja yang memberi tekanan akan membuatkan otak kekal aktif.

Malangnya, menutup mata tidak sama seperti menutup suis otak kerana ia tidak hilang sebaik sahaja anda memejam mata.

Walaupun anda tertidur kerana terlalu letih, minda mungkin masih terus berjalan di belakang tabir, dan ini menjejaskan tidur yang lebih dalam dan menyegarkan.

Akibatnya, anda mungkin bangun dalam keadaan tidak selesa secara mental. Ramai orang bangun dengan rasa tegang, tidak tenang atau fikiran berselerak tanpa sedar bahawa tabiat menatal sebelum tidur menjadi puncanya.

BACA: Wanita Dipecat Kerana Datang Kerja Terlalu Awal

Sumber: Parade