Pakar mendakwa aplikasi telefon pintar yang dibangunkan mampu mengesan tanda awal strok yang dialami oleh individu dengan mendengar degupan jantung dan batuk, lapor Washington Post.
Aplikasi yang dipanggil Fast AI ini didakwa mampu mengesan simptom strok yang paling biasa iaitu asimetri muka, kelemahan lengan dan perubahan dalam pertuturan dengan menggunakan algoritma pembelajaran mesin.
“Matlamat kami sangat mudah. Kami mahu mengesan strok seawal sebelum pesakit itu tahu,” kata Radoslav I. Raychev, pengarang utama kajian dan pakar neurologi vaskular di Universiti California di Los Angeles.
Namun pada ketika ini, aplikasi itu masih belum sedia digunakan untuk awam dan tidak jelas bila ia akan dipasarkan.
Dalam pada itu, Rachev berkata, matlamatnya adalah untuk memastikan aplikasi tersebut menjangkaui peranti yang lain dengan kehebatannya.
“Apabila seseorang sedang berbual menggunakan panggilan video, atau semasa mereka sedang bercakap dengan pembantu maya seperti Alexa, kami mahu pengawasan pasif itu menangkap simptom pesakit semasa strok berlaku,” jelasnya.
Guna aplikasi sebagai alat pendidikan
Pakar neurologi di empat pusat strok metropolitan utama di Bulgaria menguji aplikasi itu kepada hampir 270 pesakit yang disahkan mempunyai strok.
Menggunakan rakaman video dan penderia peranti, aplikasi itu dapat mengenal pasti asimetri muka dengan ketepatan lebih daripada 97 peratus dan kelemahan lengan dengan ketepatan lebih 72 peratus.
Sejak fasa penyelidikan awal, aplikasi itu telah diuji pada ratusan pesakit. Ia direka untuk mengesan pertuturan yang tidak normal, tetapi fungsi itu masih belum diuji ke atas pesakit.
Pakar berkata aplikasi telefon pintar yang boleh mengesan gelaja strok adalah idea yang bagus, tetapi aplikasi itu harus digunakan untuk mendidik orang ramai mengenai tanda-tanda dan mendorong untuk menghubungi talian kecemasan dengan cepat, dan bukan sebagai alat diagnostik.
Sesetengah pakar menyatakan kebimbangan bahawa keputusan negatif palsu mungkin mendorong pesakit untuk tidak mendapatkan rawatan awal, yang boleh membawa kepada akibat yang dahsyat.
Makna nama aplikasi FAST
Akronim FAST digunakan untuk mengajar orang ramai mengenai tanda amaran strok yang paling biasa.
Perkataan F membawa maksud facial dropping atau ‘muka jatuh’, di mana ia mungkin berlaku pada sebelah muka terutamanya apabila orang tersebut menunjukkan senyuman.
Manakala A pula, merupakan arm weakness (kelemahan lengan). Apabila kedua-dua lengan diangkat, satu lengan mungkin mula jatuh ke bawah.
Sementara itu, untuk perkataan S pula adalah speech difficulty (kesukaran pertuturan). Individu tersebut mungkin akan gagap ketika berbicara.
Akhir sekali, T adalah untuk time iaitu ‘masa’. Jika seseorang mengalami mana-mana gejala ini, hubungi ambulans dengan kadar segera.
Terdapat simptom lain juga, yang mungkin sukar dikesan oleh aplikasi yang berkemungkinan boleh memberi isyarat strok.
Pesakit strok mungkin mengalami sakit kepala secara tiba-tiba dan akan menjadi lebih teruk, kekeliruan, kehilangan penglihatan pada satu atau kedua-dua mata, kebas di sebelah badan mereka atau masalah berjalan kerana pening atau kehilangan keseimbangan.
Sumber: Washington Post
BACA: OpenAI Dipercayai Bakal Lancar Aplikasi Mudah Alih ChatGPT