Dua beradik yang tinggal di kampung Gelumbang, Muara Enim, Sumatera Selatan, Indonesia, telah ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus akibat kelaparan.
Kedua-dua mereka telah dilaporkan telah ditemui oleh petugas polis dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika sedang melakukan rondaan pencegahan wabak Covid-19 di kawasan tersebut.
Di rumah tersebut, dua beradik itu dilihat dalam keadaan yang sangat memilukan. Salah seorang daripada mereka didapati terbaring di atas katil dalam keadaan tidak bermaya dengan badan yang sangat kurus seakan tiada zat ketika ditemui.
Seorang lagi pula masih mampu berdiri, namun kelihatan kurus kering dan tidak terurus. Penemuan dua beradik tersebut dikatakan berlaku di Muara Enim, Sumatera Selatan.
Ketika anggota penguatkuasa tersebut datang bertemu dengan mereka, salah seorang daripadanya bertanyakan kepada mereka bahawa adakah mereka membawa sekali bersama sedikit nasi.
“Pak (polis) bawa nasi?” kata salah seorang daripadanya ketika anggota polis dan tentera datang ke rumahnya.
Ketua Polis Muara Enim, AKBP Donni Eka, telah mengesahkan kejadian tersebut. Dua beradik itu ditemui ketika polis dan TNI melakukan rondaan untuk meninjau keadaan penduduk di kawasan tersebut berhubung krisis wabak Covid-19.
“Kejadian tersebut berlaku di Gelumbang, ianya terjadi semasa rondaan dilakukan. Dua beradik ini, tinggal di rumah orang tuanya yang sudah meninggal dan mereka kini berada dalam keadaan yang tidak terurus,” katanya.
Donni menyatakan bahawa pasukannya akan kembali semula ke lokasi berkenaan dengan membawa bersama pasukan kesihatan untuk memberi bantuan yang sepatutnya kepada dua beradik itu.
Sumber: Detik News