KUANTAN, 1 Okt (Bernama) — Kerajaan Pahang mengehadkan operasi perniagaan termasuk kedai serbaneka di daerah yang mempunyai kes aktif positif COVID-19, setakat 12 tengah malam, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Bagaimanapun, katanya arahan yang berkuat kuasa serta-merta itu tidak terpakai kepada pusat perubatan, klinik dan stesen minyak yang beroperasi dalam daerah terlibat.
Selain itu, Sallehuddin berkata acara keramaian termasuk kenduri yang melibatkan kehadiran melebihi 100 orang dalam satu-satu masa, perlu ditangguhkan, selama 14 hari daripada kes terakhir dikesan.
“Selain itu, semua aktiviti riadah dan sosial dalam daerah terlibat juga hanya dibenarkan setakat pukul 12 tengah malam, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.
“Jika SOP sukar dikawal, acara dan penganjuran aktiviti ini, tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Untuk rekod, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 17 Julai lalu memaklumkan semua operasi perniagaan di negeri ini dibenarkan kembali beroperasi mengikut kelulusan lesen sedia ada, dengan pematuhan (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Setakat semalam, dua daerah di Pahang mempunyai kes aktif COVID-19 iaitu masing-masing empat kes di Jerantut dan Kuantan.
Sebagai langkah mencegah penularan wabak itu, Sallehuddin berkata aktiviti pekan sehari dan pasar malam serta masjid, surau dan rumah ibadat yang berada dalam lokaliti kes aktif tidak dibenarkan beroperasi selama 14 hari.
Beliau berkata penularan wabak COVID-19 di Pahang masih terkawal dengan kebanyakan kes melibatkan individu pulang dari Sabah sehingga kerajaan negeri menggalakkan individu yang pulang selepas 27 Sept lepas terus melakukan pengasingan diri selama 14 hari dari tarikh tiba di lapangan terbang.
“Mereka juga digalakkan membuat ujian saringan ulangan pada hari ke-13 selepas pulang, walaupun telah mendapat pelepasan menjalani perintah kuarantin,” katanya.
Sumber: BERNAMA