
Pagar Besi Di Tempat Duduk Penyokong Dalam Stadium Bukit Jalil Akhirnya Dibuka
Peminat sukan bola sepak di Malaysia pastinya sudah biasa memasuki Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur.
Stadium Nasional Bukit Jalil kini sedang dalam proses baik pulih dan pengubahsuaian bersempena dengan kempen pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
Justeru, Stadium Bukit Jalil menerusi akaun TikTok @stadium.malaysia telah menunjukkan proses-proses pengubahsuaian tersebut.
Menerusi sebuah muat naik video di TikTok, seorang pengguna telah memberikan saranan agar Stadium Bukit Jalil untuk membuka pagar besi di stadium berkenaan.
Atas saranan itu, menerusi muat naik video terbaru mereka, pintu pagar besi dapat dilihat kini sedang dalam proses untuk dibuka.

Menurut saranan dan komen itu lagi, besi pagar penghalang itu dikatakan telah menghalang pandangan penonton.
“Pagar besi tu buka la. Dah 2023 kot. Kalau tak nak buka tukar ke cermin macam Stadium Sultan Ibrahim. Besi tu halang pandangan,” tulis saranan daripada seorang pengguna media sosial tersebut.

Bagaimanapun, masih tidak jelas pagar besi tersebut bakal dibuka kesemuanya atau bagaimana.
Selain itu, pagar pemisah tempat duduk itu juga masih tidak diketahui bakal dibuka sepenuhnya atau digantikan dengan sesuatu yang berlainan pada masa akan datang.
Sebelum ini, Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Faidz Sanusi berkata bahawa stadium itu dalam fasa persediaan untuk kempen pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
Menurut Faidz Sanusi, pengubahsuaian Stadium Bukit Jalil itu termasuk penanaman rumput zeon zoysia baharu. Kini ia dijadualkan untuk siap pada hujung September depan, memetik laporan Sinar Harian.
BACA: Malaysia Di Tempat Ke-3 Dalam “List” Negara Berkemungkinan Besar Meninggal Di Jalan Raya
“Ketika ini kerja-kerja di Stadium Nasional sudah lebih 50 peratus siap. Sistem perparitan dan paip untuk padang sudah selesai, hanya tinggal tanam rumput.
“Kita akan mula menanam rumput baharu pada 1 Ogos selepas konsert (Muse) pada Sabtu.
“Prosesnya akan mengambil masa antara tiga hingga empat minggu mengikut penjadualan lima fasa penanaman rumput,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Sumber: TikTok/@stadium.malaysia, Sinar Harian