
Singapura – Seorang lelaki didenda sebanyak RM8,300 oleh mahkamah pada Rabu, 19 Okober baru-baru ini kerana meninggalkan kucing peliharaannya di lobi lif di Bukit Batok.
Tertuduh, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang telah melanggar kewajipan sebagai pemilik haiwan dengan meninggalkan kucing baka British Shorthair peliharaannya yang bernama Bao Bao.
Mahkamah mendapat laporan bahawa kucing tersebut ditemui ditinggalkan di lobi berhampiran lif di kediaman Blok 624, Bukit Batok Central pada 6 Oktober tahun lepas.
Kucing tersebut ditinggalkan dengan kelengkapan seperti makanan dan air minuman, malah disertakan sekali dengan nota yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin yang menyatakan nama kucing, baka dan status kesihatannya.
“Tidak boleh menjaga kerana masalah peribadi” tulisnya pada nota itu.
Menyedari ia ditinggalkan tuannya, kucing tersebut akhirnya diselamatkan oleh Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA) dan didapati ‘si bulus’ itu berada dalam keadaan fizikal yang baik.
Melalui siasatan yang dijalankan, tertuduh tinggal di beberapa blok jauh dari lokasi kejadian dan dia dikenal pasti sebagai pemilik kucing tersebut.
Dalam kenyataannya, dia mengaku bersalah meletakkan Bao Bao dalam beg dan meninggalkannya berhampiran lobi lif sebelum keluar untuk makan tengah hari.
Tertuduh diwakili peguamnya, Chung Ting Fai, memohon maaf dan berkata ia adalah kesilapannya dan sedar akan perbuatannya yang menyalahi undang-undang di Singapura.
Tertuduh berkata bahawa dia berhijrah ke Singapura dari Hong Kong pada November 2019. Dia membeli Bao Bao di Hong Kong ketika kucing itu berusia dua bulan dan tinggal bersamanya lebih dari tiga tahun.
Bagaimanapun, selepas dia berpindah ke Singapura, Bao Bao mula bersikap agresif dengan sering kali menyerang kucing dan anjing peliharaannya iaitu bermula dari Mei 2021 dan berterusan selama tiga bulan.
“Jadi, saya melakukan kesilapan dan membuat keputusan yang salah untuk meninggalkannya di lobi lif berhampiran rumah saya,” kata tertuduh.
Dia berkata dirinya dapat melihat lobi tersebut melalui tingkap rumahnya dan membiarkan kucingnya, malah dia juga menunjukkan nama kucing itu (pada nota) untuk memberitahu orang ramai bahawa Bao Bao bukan kucing liar.
“Saya benar-beanr menyesali perbuatan bodoh saya,” katanya.
Hal ini kerana tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM33,000 atau kedua-duanya sekali atas kesalahan meninggalkan kucing jika disabit kesalahan.
Sumber: CNA