LANGKAWI, 20 Ogos – Kegiatan menembak kerbau tanpa lesen oleh empat individu mengundang padah apabila aktiviti mereka dikesan pemilik haiwan berkenaan.
Mereka yang berusia lingkungan 57 hingga 64 tahun itu melakukan kegiatan tersebut di kawasan hutan getah Kampung Belibis, Mukim Air Hangat.
Berdasarkan kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Langkawi, kejadian yang berlaku pada 18 Ogos (kelmarin) sekitar 11 pagi itu disedari oleh seorang lelaki Melayu yang mengaku dirinya pemilik kerbau tersebut.
“Ketika kejadian berlaku, dikatakan empat (4) orang suspek tersebut sedang melapah kerbau yang telah ditembak dan disembelih untuk dijadikan sebagai bekalan makanan serta dibahagikan,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Dalam pada itu, keempat-empat suspek berkenaan didapati tidak mempunyai lesen berburu yang sah.
Mereka telah ditangkap di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim memandang serius perkara tersebut, terutamanya kegiatan pemburuan haram yang telah berleluasa selama ini.
Pemburuan haiwan perlulah mendapatkan lesen yang sah, disertai dengan lesen memiliki senjata api yang sah, katanya.
Sumber: Polis Langkawi