Padah Tak Jujur Isi Borang, Lelaki Sangkut Di ‘Airport’ Sebab Bawa Rendang
Gara-gara tidak berlaku jujur, seorang lelaki ‘tersangkut’ di lapangan terbang dan didenda RM12,000 gara-gara membawa rendang yang tidak dinyatakan ketika mengisi borang pengisytiharan masuk ke Australia, lapor ABC News.
Malah lebih malang lagi, selain tidak dibenarkan masuk ke Australia, lelaki tersebut juga turut diarahkan untuk dihantar pulang ke negara asalnya dengan serta-merta.
Menteri Pertanian dan Dalam Negeri Australia pada Ahad dalam kenyataan berkata, lelaki tersebut yang baru tiba di lapangan terbang berkenaan menjawab ‘tidak’ bagi pertanyaan apakah dia membawa daging, ayam atau seumpamanya.
“Penumpang itu tidak mengisytiharkan membawa 3.1 kilogram daging itik, 1.4 kilogram rendang, lebih 500 gram daging lembu beku dan hampir 900 gram daging ayam di dalam begnya,” katanya dalam kenyataan yang diterima ABC Indonesia.
Difahamkan, terdapat beberapa laporan media di Australia menyatakan lelaki itu merupakan warganegara Indonesia, namun ABC Indonesia masih menunggu pengesahan daripada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia.
Ekoran itu, visanya dibatalkan serta-merta dan mengikut undang-undang, lelaki berkenaan wajib meninggalkan Australia dalam kadar segera dan perlu menunggu tiga tahun untuk memohon visa sekali lagi.
Australia kawal ketat bawa masuk produk daging berisiko HFMD
Gambar: AAP via ABC NewsSebelum ini, Kerajaan Australia yang dipimpin oleh Anthony Albanese mengetatkan larangan membawa produk daging dari luar negara untuk kegunaan peribadi kerana kebimbangan terhadap penyakit kaki dan mulut (HFMD).
Difahamkan, menurut anggaran Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia, sebanyak RM37 bilion kerugian yang dialami oleh industri itu sekiranya wabak HFMD merebak secara menyeluruh.
Oleh itu, Menteri Pertanian Murray Watt berkata produk daging yang dibawa oleh orang luar adalah berisiko besar membawa penyakit HFMD ke Australia.
“Ini adalah kesalahan yang sangat serius dan suspek terbabit telah dikenakan hukuman yang paling berat.
“Tindakan Pegawai Biosekuriti dan ABF sekali lagi diambil untuk melindungi warga Australia dan sektor pertanian kita daripada risiko biosekuriti yang berpotensi menyebabkan kerosakan teruk,” katanya.
Menurutnya, setiap pelancong yang memasuki Australia wajib melaporkan setiap makanan yang dibawa ‘secara jujur dan terbuka’ untuk pemeriksaan oleh pegawai biosekuriti di lapangan terbang.
“Sekiranya produk itu dibenarkan masuk ke Australia, ia akan dipulangkan kepada orang berkenaan,” tambahnya.
Sumber: ABC News