Kredit: Hyde News & Pictures / Pixabay

Padah ‘Mainkan’ Polis Buat 45 Panggilan Kecemasan Palsu Dalam Satu Malam, Lelaki Dipenjara 16 Bulan

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Tindakan pelik seorang lelaki di Everton yang ‘gian’ membuat panggilan kecemasan palsu 999 sehingga 45 kali dalam satu malam tanpa sebarang alasan munasabah mengundang padah apabila dia akhirnya dipenjara.

Merujuk laporan Metro UK, lelaki berusia 45 tahun itu melakukan tindakan pelik sedemikian bermula dari pukul 9.36 malam hari kejadian pada 23 Oktober tahun lepas.

Difahamkan, semasa panggilan palsu itu dibuat, dia membuat beberapa bunyi pelik tetapi tidak memberikan apa-apa respons terhadap pegawai yang menerimanya di bilik kawalan di balai polis di Hampshire.

Selain bunyi pelik, pegawai itu juga berkata dia turut terdengar bunyi rancangan televisyen di latar belakang panggilan palsu berkenaan.

Justeru secara keseluruhannya, lelaki itu telah membuat panggilan kecemasan palsu sebanyak 45 kali sehingga pagi keesokan harinya.

Kredit: Hyde News & Pictures

Pernah disabitkan atas kesalahan sama sebelum ini

Lebih mengejutkan, tertuduh juga pernah ditahan atas kesalahan hampir sama iaitu menggunakan rangkaian komunikasi awam untuk menyebabkan kegusaran, kesusahan, kebimbangan dan melanggar perintah tingkah laku jenayah secara berterusan.

Jurucakap bagi jabatan polis Hampshire Constabulary berkata, kesalahan membuat panggilan 999 tanpa sebab kukuh menyebabkan tertuduh tersebut melanggar Perintah Tingkah Laku Jenayah selama dua tahun.

“Dalam setiap panggilannya, dia hanya menghasilkan bunyi-bunyi aneh dan mengabaikan soalan yang diutarakan oleh pengendali (pegawai polis bertugas) pada masa itu.

“Pada 10.06 malam hari kejadian, dia telah membuat panggilan selama 21 kali dan semasa panggilannya, kedengaran suara rancangan televisyen pada latar belakangnnya,” katanya.

Hakim di Mahkamah Winchester Crown mendapati kesalahan itu melanggar Perintah Tingkah Laku Jenayah yang ditetapkan oleh mahkamah, iaitu tertuduh pernah disabitkan atas kesalahan yang sama sebelum ini.

Oleh sebab itu, tertuduh tersebut akhirnya telah dijatuhkan hukuman penjara selama 16 bulan bermula minggu lepas.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Buat panggilan kecemasan palsu tidak wajar dinormalisasi

Mengulas lanjut, Superintenden Anna Skelton berkata, tertuduh sudah ‘mengambil masa’ yang berharga daripada penerima panggilan mereka yang sepatutnya (masa itu) membantu orang yang betul-betul dalam kecemasan.

“Staf kami telah menjalankan tugas mereka dalam tekanan yang tinggi, mereka juga selalu berhubung dengan sesiapa sahaja yang mengalami saat-saat mencemaskan. Maka, tindakan yang boleh dikatakan sangat biadab ini sangatlah tidak wajar.

“Pada minggu yang sama, kami telah berurusan dengan kekerapan panggilan yang sangat tinggi daripada orang ramai, jadi ini adalah peringatan tepat pada masanya untuk hanya mendail 999 ketika kecemasan sahaja.

“Saya berharap kenyataan ini dapat menghantar mesej yang kuat bahawa membuat panggilan gurauan ke talian 999 adalah satu kesalahan serius yang boleh dijatuhkan hukuman penjara,” katanya kepada pemberita seperti yang dilapor Metro UK.

Sumber: Metro UK