
Oyen Dan Haiwan Lain Selamat Dalam Kejadian Banjir Kilat Di Zoo Negara
‘Star of Zoo Negara’ iaitu kucing Oyen bersama haiwan-haiwan lain dilapor terselamat daripada kejadian banjir kilat yang melanda taman haiwan itu pada petang semalam, lapor Sinar Harian.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat berkata, kejadian itu dikatakan berlaku disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan.
Tambahnya, kejadian banjir pernah berlaku pada sebelum ini tetapi tidak seteruk kejadian petang semalam.
“Sewaktu kejadian pada jam 5 petang, kakitangan zoo belum balik lagi dan mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Begitu juga dengan kucing ‘Oyen’ yang ditemui di kawasan tinggi berhampiran kandang capybara. Kami percaya ketika kejadian, Oyen menyelamatkan diri dengan memanjat tempat selamat,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Rosly berkata, kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas telah dilakukan oleh kakitangan zoo.
Ia dilakukan dengan kerjasama daripada Balai Bomba Sukarela Gombak dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Proses pembersihan telah dilaksanakan sehingga jam 11.30 malam. Terima kasih kepada pihak yang terlibat membantu Zoo Negara. Tanpa mereka kerja-kerja pembersihan itu tidak akan dapat siap.
“Untuk pengetahuan, zoo juga dibuka seperti biasa hari ini,” katanya.
Sebelum ini, kisah Oyen itu telah mendapat liputan luas daripada dalam mahupun luar negara.
Oyen itu telah bersahabat baik dengan tikus gergasi capybara dan melonjakkan kedatangan pengunjung ke Zoo Negara hingga melebihi 3,000 orang pada hujung minggu.
‘Star of Zoo Negara’ itu meraih populariti selepas kisah persahabatannya unik bersama capybara sejak tiga tahun lalu dikongsi secara meluas di media sosial.
Tular beberapa video di media sosial yang memaparkan keadaan banjir kilat di Zoo Negara petang semalam.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @Bosyakuza_2207 memaparkan gerbang masuk lokasi itu dipenuhi air banjir.
Difahamkan hujan lebat pada petang semalam turut menyebabkan beberapa kawasan dipercayai di sekitar MRR2 dan Hulu Klang turut dilanda banjir kilat.
Sumber: Sinar Harian