
Owner Sanggup Bayar ‘Lebih’ Untuk Review, Rhys Tolak Demi Prinsip & Ini Sebabnya
Walaupun kedai sanggup bayar lebih untuk ‘review’, pengacara terkenal warga Britain Rhys William James Woodfield mengambil keputusan untuk menolaknya demi menjaga prinsip yang dipegangnya selama ini.
Prinsip tersebut ialah dia hanya akan mempromosikan kedai itu sekiranya ia bersih dan mempunyai persekitaran yang mesra hingga membuatkan dirinya akan berkunjung kembali.
Bagi Rhys, rasa sedap itu adalah subjektif kerana ia mengikut selera masing-masing namun, kebersihan kedai adalah standard yang perlu dijaga.
Setelah lebih kurang enam tahun menjadi pencipta kandungan (content creator) untuk memberi ulasan makanan (food review), Rhys berkata pengalaman awal kerjayanya membuatkan dia mahu berpegang kepada prinsip itu.
Ujar Rhys, pada awal kerjaya dia menerima sebarang pekerjaan tanpa niat kerana mahu mencuba menceburi bidang tersebut walaupun tidak mempunyai arah tuju yang sebenar.
“Kedai itu bukan nak kata kotor, tetapi tidaklah bersih sangat. Nampak cara mereka menyediakan makanan semua macam tiada selera sangat nak makan dekat situ.
“Dan sejujurnya masa itu, I dah cop (kata) dalam hati saya, kedai ini saya tidak akan datang balik untuk makan dan tidak akan review lagi.
“Sebab bila kita tengok, kita memang tidak happylah,” kata Rhys dalam satu perkongsian video di Facebook.
Ujar Rhys, kedai tersebut sering memanggil pempengaruh dan selebriti datang untuk review.
Oleh itu, Rhys yang juga penulis blog makanan “Mat Salleh Cari Makan” juga dipanggil untuk membuat ulasan makanan mengenai kedai tersebut.
“Dia banyak kali nak panggil saya datang balik, tapi saya tolak secara baik. Minta maaf saya busy, sorry saya tidak dapat datang’.
“Bukan sebab apa, sebab saya tak rasa happylah. Saya tak rasa tenang kalau saya promote tapi saya sendiri tidak suka kedai itu,” tambahnya.
Namun setelah ditolak beberapa kali, pemilik kedai itu sanggup membuat tawaran tinggi supaya dia datang makan lagi di sana.
“Baru-baru ini dia contact balik, saya cakap saya busy tak dapat datang. Lepas itu dia cakap, you cakap je you nak berapa kita sanggup bayar lebih untuk you datang review.
“Masa I dengar tu I pissed off tau, annoyed sangat, geram. Sebab dengan hanya mendapat bayaran mahal, kena bagi ulasan yang baik mengenai makanan walaupun sebaliknya,” tambah Rhys.
Dalam pada itu, Rhys berkata dirinya tidak berasa puas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh kedai terbabit kerana mahu bayar untuk cakap sedap tanpa menjaga kebersihan kedai.
“Daripada pengalaman itu, memang nak pegang pada satu prinsip yang saya cuba dari dulu lagi bahawa saya sendiri tidak akan makan, tidak akan datang balik, saya tidak akan review, tak promote tempat itu.
Tambah Rhys, daripada kedai itu berhabis duit dengan membayar lebih kepada pempengaruh, dia patut fokus kepada penambahbaikan di tempatnya.
Rhys berkata sebagai content creator bukan sahaja memberi review semata-mata tetapi juga perlu menjaga penonton.
Golongan sepertinya memberi cerminan kepada penonton kerana orang ramai pasti akan terpengaruh dan akan berkunjung ke kedai selepas melihat ulasan yang diberikan.
“Paling penting kita kena jaga audience. Sedap itu subjektif. Tapi ada benda macam kebersihan semua itu bukan subjektif. Benda itu ada standard yang kita ikut.
“Kita kena pastikan kita hanya promote tempat kita sendiri akan datang balik, kita suka.
“Kalau setakat berbayar, nanti orang akan cakap kita buat sebab dibayar sahaja. Dan kedai, sebelum spend beribu-ribu panggil artis semua pastikan standard ada dekat situ,” kata Rhys.
Mengakhiri video itu, Rhys berkata kemungkinan dia akan menyenarai pendekkan tempat yang pernah diberi ulasan dan akan berkongsi kepada orang ramai mengenai tempat itu.
Sumber: Mat Salleh Cari Makan via Facebook
BACA: Hilang Di Kuala Tahan, Blogger ‘Mat Salleh Cari Makan’ Rhys William Ditemui Selamat