Seorang tuan rumah di Amerika Syarikat menerima pujian ramai apabila memutuskan untuk berkongsi keuntungan daripada penjualan rumahnya dengan bekas penyewa rumah berkenaan.
Lapor India Times, Chris Robarge yang merupakan bekas penyewa tersebut mendakwa dirinya menerima cek sekitar $2,500 (RM10,370) daripada bekas tuan rumahnya.
Dia turut memuatnaik gambar sekeping surat dipercayai daripada tuan rumah berkenaan yang menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Chris yang telah menjaga rumah tersebut sepanjang menyewa di situ.

“Saya cuba kekalkan sewa sama dengan perbelanjaan bulanan mengekalkan rumah tersebut (prinsipal, faedah, cukai, insuran, utiliti dan penambahbaikan).
“Sementara prinsipal pinjaman terutama pada tahun-tahun pertama pembelian adalah sebahagian kecil daripada perbelanjaan keseluruhan, saya ingin pulangkan bahagian sewa yang kamu bayar. Walaupun ia tak banyak, ia milik kamu.
“Ia rumah yang baik dan saya gembira dapat berkongsi dengan kamu,” katanya dalam surat tersebut.

Jelas Chris, tindakan pemilik rumah itu membuatkan dia terinspirasi, sekaligus berniat untuk memberi wang $2,000 (RM8,296) kepada individu yang memerlukan.